Thursday, December 5, 2024
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkukuh kerjasama tangani ancaman kesihatan serantau

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Delegasi Majlis Mesyuarat Negara (MMN) diwakili oleh ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof, Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin dan Yang Berhormat Haji Mohamad Danial @Tekpin bin Ya’akub baru-baru ini menghadiri Persidangan Serantau Parlimen Asia-Pasifik mengenai Keselamatan Kesihatan Global yang berlangsung di Bangkok, Thailand.

    Persidangan yang memfokuskan mengenai keselamatan kesihatan di rantau Asia Pasifik itu menghimpunkan lebih 90 peserta daripada kalangan ahli parlimen, pakar kesihatan dan wakil organisasi antarabangsa bagi membincangkan dan merangka langkah ke arah masa depan kesihatan yang lebih selamat dan mampan.

    Penyertaan MMN mencerminkan komitmen dalam memperkukuh kerjasama serantau dan menyumbang kepada usaha global untuk membina sistem kesihatan yang lebih teguh dan inklusif.

    Presiden Dewan Negara dan Speaker Dewan Perwakilan Thailand, Tuan Yang Terutama Wan Muhamad Noor Matha dalam ucaptamanya telah menekankan kepentingan solidariti rentas sempadan dan menyeru ahli-ahli parlimen untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam menangani ancaman kesihatan yang semakin kompleks. Beliau juga menegaskan bahawa hanya dengan tindakan kolektif, keselamatan kesihatan global dapat dicapai.

    Sepanjang persidangan, para peserta menumpukan perhatian kepada isu-isu kritikal seperti persediaan bagi menghadapi kecemasan kesihatan, pengukuhan kerjasama serantau serta penyesuaian dasar untuk menghadapi ancaman masa hadapan.

    Sesi perbincangan utama telah memberi tumpuan kepada Perlindungan Kesihatan Sejagat, impak perubahan iklim terhadap kesihatan dan peranan inovasi teknologi dalam memperkukuh keupayaan tindak balas terhadap krisis kesihatan.

    Persidangan itu dianjurkan bersama Parlimen Thailand dan Kesatuan Antara Parlimen dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

    Delegasi MMN bergambar ramai semasa persidangan tersebut.
    – GAMBAR SERAHAN MMN
    Delegasi MMN semasa menghadiri Persidangan Serantau Parlimen Asia-Pasifik mengenai Keselamatan Kesihatan Global yang berlangsung di Bangkok, Thailand baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN MMN
    GAMBAR SERAHAN MMN
    GAMBAR SERAHAN MMN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda