Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MAC – Sempena memperingati Sambutan Hari Kaji Cuaca Sedunia 2025, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian
Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) telah mengadakan Majlis Sembahyang Fardu Zohor Berjemaah, Membaca Surah Yasin, Tahlil dan Doa Selamat di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas, kelmarin.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Turut hadir, setiausaha tetap, timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua eksekutif, pengarah-pengarah bahagian, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan MTIC, jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya.
Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Zohor berjemaah, diikuti dengan bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Haji Ashraf bin Haji Bujang.
Hari Kaji Cuaca Sedunia, yang disambut pada setiap 23 Mac merupakan acara tahunan yang mengiktiraf peranan penting kaji cuaca dan sains iklim dalam memperkukuhkan daya tahan global.

Sambutan pada tahun ini lebih bermakna dengan meraikan ulang tahun ke-75 Pertubuhan Kajicuaca Sedunia (WMO), yang terus menjadi peneraju dalam usaha melindungi komuniti di seluruh dunia daripada kesan perubahan iklim.
Tema sambutan 2025, iaitu Bersama Merapatkan Jurang Amaran Awal, memberikan peringatan penting bahawa sistem amaran awal bukanlah satu keistimewaan, tetapi merupakan satu keperluan.
Kesan perubahan iklim yang semakin meningkat di mana kejadian-kejadian cuaca ekstrem seperti gelombang haba yang lebih panas, kejadian banjir yang dahsyat, ribut yang kuat dan kenaikan paras laut yang semakin meluas terus mengancam kehidupan dan ekonomi di seluruh dunia.
Sepanjang dekad lalu, suhu global juga mencatat rekod tertinggi serta bencana iklim yang semakin meningkat.
Sehubungan itu, inisiatif Amaran Awal untuk Semua (EW4All) yang diterajui oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyasarkan menjelang 2027, setiap individu di seluruh dunia akan mendapat akses dan dilindungi oleh sistem amaran awal.
Selaras dengan inisiatif global berkenaan, MTIC, melalui BDMD, terus memperkukuhkan keupayaan sistem amaran awal bagi menyediakan maklumat yang tepat dan pantas kepada orang ramai.
Salah satu komponen utama dalam usaha itu ialah sistem amaran berwarna BDMD, yang membantu masyarakat memahami tahap kekuatan amaran cuaca dan mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya.
Dikategorikan kepada tiga tahap kuning, jingga dan merah, sistem berkenaan memastikan orang ramai, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan menerima maklumat yang jelas dan boleh diambil tindakan sewajarnya semasa kejadian cuaca ekstrem.
Dalam usaha berterusan untuk memperkukuhkan keupayaan ramalan cuaca di Negara Brunei Darussalam, BDMD terus mengguna pakai teknologi kaji cuaca yang canggih serta alat pemantauan iklim bagi memastikan ketepatan yang lebih tinggi dalam ramalan cuaca.
Selaras dengan Wawasan Brunei 2035 serta Pelan Strategik MTIC, negara komited dalam usaha memperkukuhkan sistem amaran awal, meningkatkan akses orang ramai kepada data kaji cuaca serta memperluaskan kerjasama antarabangsa.
Melalui kerjasama dengan WMO, ASEAN dan agensi-agensi kajicuaca global lain, Negara Brunei Darussalam akan terus berusaha ke arah masa depan yang lebih selamat dan berdaya tahan.
Pada masa yang sama, pendekatan seluruh kerajaan dan seluruh negara amat penting bagi memastikan Inisiatif EW4All berkenaan dilaksanakan dengan jayanya melalui kerjasama erat antara agensi-agensi yang berkaitan samada dalam meningkatkan keupayaan kaji cuaca, pembangunan teknologi amaran awal dan penyebarannya serta kesiapsiagaan negara dalam menghadapi dan tindakan pengurusan bencana.