Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Bagi memastikan keberkesanan sokongan dan kelangsungan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan, kerajaan melalui Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) kini sedang memperkukuh usaha pemantauan serta menilai semula Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang sedia ada.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah telah menjelaskan semasa Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bahawa Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB), sebagai agensi utama pembangunan PMKS, sememangnya telah menjalankan pemantauan berkala terhadap beberapa KPI termasuk hasil syarikat, pelaburan, peluang pekerjaan serta capaian pasaran.
Yang Berhormat Dato berkata data penilaian tersebut dilaporkan kepada ahli Lembaga Pengarah LKEB secara bulanan dan tahunan, serta dikongsi kepada orang awam menerusi laporan tahunan yang dimuat naik di laman sesawang rasmi agensi berkenaan.
Dalam menjelaskan perkembangan terkini mengenai capaian pasaran, Yang Berhormat Dato memaklumkan bahawa dari tahun 2023 hingga Jun 2025, sebanyak 22 syarikat tempatan berjaya difasilitasi untuk menembusi lima pasaran luar negara.
Daripada jumlah itu, 20 melibatkan produk dan dua adalah perkhidmatan, satu pencapaian yang menggambarkan peningkatan keupayaan eksport syarikat-syarikat tempatan hasil bimbingan dan inisiatif agensi berkaitan.


Mengulas lanjut mengenai cadangan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Momin, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa kementerian mengambil maklum cadangan untuk memasukkan KPI tambahan seperti kadar survival lima tahun bagi PMKS.
Cadangan ini, menurut beliau, akan diteliti lebih lanjut untuk dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada rangka pemantauan keberkesanan program dan dasar yang sedang dijalankan.
Dalam usaha memperkukuh ekosistem perniagaan negara secara menyeluruh, kementerian melalui Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) kini sedang merangka satu dasar PMKS yang menyeluruh.
“Dasar ini akan menyediakan hala tuju strategik bagi memperkukuh peranan PMKS sebagai penyumbang kepada ekonomi negara,” jelas Yang Berhormat Dato.
Tambahnya, antara tumpuan utama dasar tersebut adalah pembangunan kapasiti dan keupayaan PMKS tempatan, khususnya dalam kalangan usahawan muda dan anak-anak tempatan agar lebih berdaya maju serta berdaya saing dalam menghadapi cabaran pasaran semasa.

