Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkukuh peranan Mazhab Syafi’i sebagai panduan di era digital

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi’i bersempena 60 Tahun Institusi Fatwa Negara Brunei Darussalam yang membawa tema Mazhab Syafi’i dalam Era Digital: Relevan dan Cabaran sangat signifikan untuk dibahaskan secara ilmiah kerana ia menyentuh dua dimensi penting iaitu pertama warisan ilmu yang kukuh; dan kedua realiti dunia moden yang pantas berubah.

    Kita kini hidup dalam era digital iaitu generasi kelima dalam evolusi masyarakat, di mana teknologi bukan sekadar alat, tetapi telah mencipta cara hidup, nilai dan interaksi baharu. Berbeza dengan generasi sebelumnya, masyarakat hari ini bukan sahaja mampu mengakses maklumat di alam maya, malah mampu pula menganalisisnya menggunakan kecerdasan buatan (AI), di mana hasil analisis tersebut dikembalikan ke dunia nyata dalam bentuk yang kadang kala mengatasi kemampuan manusia biasa.

    Fenomena ini bukan hanya membawa peluang besar, tetapi juga cabaran besar, terutamanya dalam memastikan kefahaman agama, khususnya Mazhab Syafi’i tetap teguh, relevan dan mampu membimbing umat di tengah arus digitalisasi yang pantas.

    Perkara antara yang ditekankan oleh Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal semasa menyampaikan sembah alu-aluan pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi’i bersempena 60 Tahun Institusi Fatwa Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pagi tadi.

    Beliau yang juga selaku pengerusi bersama Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi’i turut menambah sesungguhnya kita sedang berdepan dengan gelombang teknologi yang mengubah bukan sahaja cara hidup, bahkan cara kita berfikir, meneliti dan mengeluarkan hukum.

    Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan ketika menyampaikan sembah alu-aluannya dalam persidangan itu. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    “Maka dengan perkembangan ini, ia menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan warisan Mazhab Syafi’i yang bersifat universal dan merentasi zaman terus subur, dapat difahami dan dipraktikkan,” ujarnya.

    Oleh itu, jelas Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan, persidangan ini yang diadakan sempena 60 tahun penubuhan institusi fatwa di Negara Brunei Darussalam, akan membincangkan isu-isu kontemporari yang selari dengan tema yang mana perhimpunan para sarjana dalam satu bumbung ini dihasratkan untuk dapat memperkukuhkan lagi peranan Mazhab Shafi’i sebagai panduan umat di era digital lebih-lebih di rantau ini.

    Dalam pada itu, Rektor UNISSA antaranya turut mengongsikan antara pengisian yang utama dan bernilai dalam Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi’i itu ialah Persidangan Mufti-mufti Serantau yang diterajui oleh Jabatan Mufti Kerajaan Brunei Darussalam dan berlangsung pada hari kedua persidangan.

    Jelasnya, Persidangan Mufti-mufti Serantau itu merupakan satu inisiatif penting bagi negara serumpun, khususnya sebagai langkah progresif dalam memartabatkan fatwa dan mendepani cabaran semasa berkaitan isu-isu kefatwaan.

    “Sebagai persidangan pertama seumpamanya, persidangan ini diharap membawa impak yang sangat signifikan dalam usaha untuk terus mengukuhkan peranan fatwa sebagai panduan umat yang dinamik, berwibawa, dan relevan dengan realiti semasa.

    “Suatu keberuntungan kepada kita ialah persidangan ini dapat menghimpun pihak-pihak berautoriti dalam hal ehwal fatwa serantau. Para ashabussamahah ini nanti akan berdiskusi berkongsi pengalaman, bertukar pandangan dan menyelaras pendekatan dalam memperkukuh institusi fatwa,” sembah beliau.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda