Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – Persidangan Biodiversiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menghimpunkan kerajaan-kerajaan dari seluruh dunia untuk mempersetujui satu set matlamat baharu bagi alam semula jadi dalam sedekad akan datang melalui proses kerangka kerja Konvensyen Kepelbagaian Biologi pasca 2020 telah bersidang secara maya bermula 11 Oktober lalu hingga hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, kerangka tersebut menetapkan rencana yang bercita-cita tinggi bagi menerapkan tindakan berdasarkan luas untuk membawa transformasi dalam hubungan masyarakat dengan keanekaragaman hayati dan bagi memastikan bahawa pada tahun 2050, visi bersama untuk hidup selaras dengan alam dipenuhi.
Kenyataan menyatakan, persidangan itu merangkumi mesyuarat ke-15 Persidangan Pihak Konvensyen mengenai Kepelbagaian Biologi (CBD COP 15), pada masa yang sama, Mesyuarat ke-10 Pihak dalam Protokol Cartagena mengenai Biosafety (Cartagena Protocol COP / MOP 10) dan Mesyuarat ke-4 Parties to the Nagoya Protocol on Access and Benefit-sharing (Nagoya Protocol COP / MOP 4).
Persidangan yang dianjurkan oleh Republik Rakyat China itu dilancarkan pada 11 Oktober dengan Segmen Tahap Tinggi yang telah diadakan pada 12 dan 13 Oktober 2021. Tema untuk persidangan tersebut adalah Ecological Civilization: Building a Shared Future for All Life on Earth.
Persidangan itu juga melihat pelaksanaan protokol-protokol Konvensyen mengenai Kepelbagaian Biologi yang menangani perkongsian manfaat yang adil dan saksama daripada penggunaan alam semula jadi, serta pengangkutan, pengendalian dan pelabelan organisma hidup diubahsuai yang selamat.
Negara Brunei Darussalam telah menjadi parti ke-19 dalam Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) pada 27 Julai 2008.
Dengan penyertaan tersebut, ia menyediakan negara dengan platform pemuliharaan antarabangsa dan memperkukuhkan lagi usaha dan strategi pemuliharaan yang sedang berjalan mengenai penggunaan sumber biologi dan semula jadi secara mampan sesuai dengan standard dan kewajiban negara dan antarabangsa.
Kenyataan menyatakan, delegasi Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat CBD COP 15 diwakili oleh pegawai kanan Kementerian Sumber Utama dan Pelancongan yang diketuai oleh pengarah perhutanan.
Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong pula telah menghadiri Segmen Peringkat Tinggi Persidangan Biodiversiti Bangsa-Bangsa Bersatu dan menyampaikan Kenyataan Bersama ASEAN semasa CBD COP 15 pada 13 Oktober.
