KOTA KINABALU, 9 JULAI – Kerajaan Sabah menyokong sepenuhnya usaha memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan belia di Sabah berdaya saing dalam pasaran kerja dan tidak lagi terperangkap dalam kitaran pengangguran.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata penubuhan Majlis TVET Sabah pada Mei tahun ini satu anjakan paradigma penting dalam landskap pembangunan TVET negeri.
“TVET tidak lagi boleh dianggap sebagai sekadar satu pilihan. Sebaliknya, ia perlu diterima sebagai pilihan arus perdana dalam usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang mampu membentuk masa depan Sabah.
“TVET bukan hanya memberikan kemahiran teknikal, malah memperkasakan individu, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya pada majlis perasmian Simposium TVET Sabah di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Hajiji berkata kerajaan negeri menyedari bahawa kemahiran teknikal dan vokasional adalah tunjang kepada pembangunan negeri yang kaya dengan pelbagai potensi, termasuk sumber asli, sektor minyak dan gas, pertanian, pelancongan dan pembuatan.
“Namun, untuk meneruskan pertumbuhan sektor-sektor, kita memerlukan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi kehendak industri yang semakin rancak membangun di negeri ini.
“Saya juga menyeru golongan belia untuk melihat TVET sebagai pilihan utama dan bukan sekadar alternatif dalam merancang masa depan mereka. TVET sepatutnya dilihat sebagai satu pilihan bijak yang mampu melahirkan profesional, usahawan dan inovator masa hadapan. – Bernama
