Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Perlawanan akhir Kejohanan Badminton Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) anjuran Majlis Sukan Polis Diraja Brunei (MSPDB) berlangsung hari ini di Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohd Irwan bin Haji Hambali, dan turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin.
Perlawanan akhir tersebut menyaksikan persaingan antara pegawai dan anggota PPDB daripada pelbagai peringkat umur dalam enam kategori, iaitu regu terbuka wanita, regu gabungan pegawai dan anggota pangkat rendah (umur gabungan 80 tahun), regu terbuka lelaki, regu campuran pegawai lelaki dan wanita, regu veteran pegawai lelaki (45 tahun ke atas) dan regu terbuka pegawai lelaki.
Antara yang turut hadir menyaksikan perlawanan berkenaan ialah pengerusi-pengerusi cawangan PPDB, para pegawai dan anggota PPDB.
Kejohanan tersebut diadakan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan anggota PPDB serta mempromosikan gaya hidup sihat bagi warga PPDB.