BARCELONA, 9 MAC – Perlawanan La Liga antara Barcelona dan Osasuna semalam telah ditangguhkan selepas salah seorang doktor pasukan utama kelab itu meninggal dunia.
“Barcelona dengan rasa dukacita mengumumkan berita sedih mengenai pemergian doktor pasukan utama, Carles Minarro Garcia, pada petang ini,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
“Atas sebab ini, perlawanan antara Barcelona dan Osasuna telah ditangguhkan ke satu tarikh baharu.
“Ahli lembaga pengarah dan semua staf Barcelona ingin mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakannya.
“Kami bersama mereka dalam saat yang sukar ini.”
Para penyokong mula memasuki Stadium Olimpik untuk menyaksikan pertemuan pendahulu liga dengan Osasuna, sebelum perlawanan itu dibatalkan kira-kira 20 minit sebelum waktu sepak mula.
“Saya masih tidak percaya. Salam takziah kepada keluarga dan rakan-rakan Carles,” tulis pemain tengah Barcelona, Pedri, dalam satu hantaran di laman sosial Instagram.
Doktor berusia 53 tahun itu meninggalkan seorang balu dan dua anak, kata Presiden Barcelona, Joan Laporta.
“Ini adalah berita yang amat menyedihkan buat Barcelona, ia membuat kami berasa sedih dan terkejut kerana ia berlaku secara tiba-tiba,” kata Laporta. – AFP
