Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Seramai 30 ahli Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Brunei Darussalam telah menyertai perlawanan boling PKWE kali pertama di Pusat Boling Utama, Batu Satu, baru-baru ini sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-41 (HK-41).
Hadir selaku tetamu kehormat melancarkan perlawanan dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Timbalan Pengarah di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Haji Rosfazilah bin Haji Yusly.
Perlawanan telah dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan lelaki dan kumpulan perempuan. Pasukan Perwira muncul johan bagi kumpulan lelaki dengan jumlah 1,512 mata diikuti Kumpulan Pahlawan dengan 1,472 mata, sementara Pasukan Wira Bangsa berjaya mengumpul 1,239 mata.
Manakala johan bagi kumpulan perempuan ialah Kumpulan Pertiwi dengan jumlah kutipan 1,418 mata, tempat kedua Kumpulan Pahlawan Serioja dengan 1,392 mata dan Kumpulan Sri Kandi di tangga ketiga dengan 1,272 mata.
Antara lain tujuan perlawanan tersebut diadakan adalah untuk menyemarakkan sambutan HK-41 di samping mengeratkan hubungan dalam kalangan ahli pusat berkenaan selain untuk terus kekal sihat.
