ST GALLEN, SWITZERLAND, 29 MAC – Pelancaran perlawanan kelayakan Piala Dunia antara Switzerland menentang Lithuania lewat 15 minit semalam kerana salah satu daripada tiang gol menggunakan saiz terlalu besar.
Kakitangan padang di Stadium Kybunpark bertindak pantas untuk menggantikan tiang gol dengan beberapa laporan media mendakwa saiz berkenaan adalah lima hingga 10 sentimeter lebih tinggi apabila ia diperiksa oleh koordinator perlawanan.
Salah satu laporan mendakwa sebab salah satu tiang gol tidak mengikut ukuran yang sebenar adalah kerana ditanam tidak sempurna ke dalam tanah.
Anggota polis turut dikerah bagi membantu mengeluarkan tiang gol berkenaan yang digantikan dengan tiang gol simpanan dan menepati piawaian perlawanan.
Switzerland mencatat kemenangan 1-0 hasil gol Xherdan Shaqiri selepas dua minit perlawanan berlangsung. – AFP