Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Penyertaan julung kali pasukan bola sepak kebangsaan pada perlawanan FIFA Series menjadi medan dan ujian terbaik kepada pemain-pemain kebangsaan beraksi di pentas antarabangsa.
Pasukan didikan jurulatih, Mario Rivera Campesino akan membuka tirai pertemuan dengan pasukan Bermuda dari Persekutuan Bola Sepak CONCACAF esok dan seterusnya bertemu dengan pasukan Vanuatu, wakil OFC pada 26 Mac nanti di mana kedua-dua perlawanan akan berlangsung di King Abdullah Sport City, Jeddah.
Presiden Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD), Haji Feisal Eusoff semasa menyuntik semangat pemain melahirkan rasa bangga atas penyertaan pasukan kebangsaan yang diberikan peluang untuk beraksi di pentas antarabangsa dan yakin pasukan kebangsaan akan memberikan saingan yang sengit untuk mengangkat nama Negara Brunei Darussalam.
“Misi kitani di sini sangat berat dan penuh cabaran. Namun pemain-pemain perlu fokus untuk memberikan saingan dan berusaha dengan gigih bagi menempuh segala cabaran,” jelas Presiden FABD pada sesi perjumpaan dengan pemain di penginapan pemain Raddison Blu Jeddah Al Salam.
Apa yang penting, katanya, keyakinan diri, berganding bahu dalam membentuk sebuah pasukan yang mantap sangat penting dan memberikan permainan yang terbaik semuanya menjadi ramuan untuk menghasilkan semangat berpasukan sekali gus bersedia untuk menghadapi pasukan dalam perlawanan itu nanti.

Presiden FABD juga mengakui dan memahami situasi pemain yang tidak mencukupi latihan-latihan namun peluang dan perbelanjaan serta elaun sepenuhnya yang diberikan oleh pihak FIFA adalah menjadi tanggungjawab semua pemain untuk menanam jati diri dengan penuh keyakinan dan iltizam untuk memberikan hasil yang sangat positif kepada pasukan.
“Pemain perlu pamer kualiti permainan, semangat yang tidak kendur-kendur kerana pasukan kita berusaha gigih untuk menyumbang yang terbaik demi Negara Brunei Darussalam,” ujar Haji Feisal lagi.
Sementara itu, Mario mengakui anak buahnya telah mempamerkan peningkatan prestasi dengan penuh semangat sepanjang menjalani latihan terakhir menjelang perlawanan FIFA Series.
“Perlawanan bertemu dengan pasukan Bermuda dan Vanuatu memang sangat mencabar di mana kebanyakan pemain-pemain dari pasukan itu telah menimba pengalaman dengan menyertai kejohanan pada liga-liga di negara Asia,” jelasnya.
Namun, Mario yakin dengan barisan pemain-pemain generasi baharu yang mempunyai potensi tinggi dan peningkatan prestasi serta semangat sepanjang latihan mampu memberikan saingan yang menarik pada perlawanan itu nanti.
Haji Feisal dan ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FABD juga hadir menyaksikan sesi latihan yang berlangsung di Padang Kompleks Sukan Stadium King Abdullah Jeddah.
Perlawanan Bola Sepak Antarabangsa FIFA Series akan beraksi di empat buah negara yang dihoskan oleh Algeria, Azebaijan, Arab Saudi dan Sri Lanka dengan melibatkan sebanyak 24 pasukan mewakili enam persekutuan bola sepak dari benua-benua yang berbeza.
Perlawanan berkenaan dihasratkan untuk memberikan peluang kepada pasukan-pasukan bola sepak kebangsaan yang mewakili persekutuan dan benua masing-masing untuk bersaing dalam usaha meningkatkan mutu bola sepak global.

