Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Pasukan Belia Masjid Kampung Masin telah dinobatkan sebagai juara bagi Kejohanan Futsal Belia Masjid yang berlangsung kelmarin bertempat di Gelanggang Futsal Kompleks Sukan Universiti Brunei Darussalam.
Sementara itu tampil di tempat kedua ialah Pasukan Belia Masjid Kampung Lambak Kiri A diikuti dengan Pasukan Belia Masjid Surau Polis Diraja Brunei Kampung Mata-Mata Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada sesi penyampaian hadiah kelmarin ialah Dato Paduka Dr Haji Ismail bin Duraman.
Kejohanan yang dibukakan kepada belia masjid yang berumur antara 12 hingga 16 tahun itu dianjurkan bertujuan bagi mendekatkan para belia dengan masjid, selain memberikan kefahaman kepada para belia agar memanfaatkan masa cuti persekolahan dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah.
Di samping itu kejohanan tersebut diadakan juga bertujuan untuk mendedahkan para belia masjid bahawa agama Islam sendiri mewajibkan sekalian umatnya untuk memelihara kesihatan dan melarang keras daripada mencuaikannya.
Sebelum itu, solat fardu Maghrib dan Isyak secara berjemaah serta ceramah motivasi bagi para belia bertempat di Masjid Kampung Bengkurong, juga turut diadakan sebelum kejohanan futsal tersebut mengambil tempat.
