Saturday, May 10, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perlawanan golf amal Pusat Ehsan kembali lagi

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Perlawanan Golf Amal Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) kini kembali lagi buat kali ke-17 yang akan mengambil tempat di Kelab Golf Penerbangan Diraja Brunei (RBGC), Berakas.

    Perlawanan golf amal yang diadakan buat kali keduanya tahun ini akan dijadualkan berlangsung pada 23, 24 dan 25 November depan yang akan menyaksikan lebih 250 orang pemain golf tempatan dan luar negara akan berentap bagi merebut The Patron’s Challenge Trophy.

    Perkara ini dinyatakan oleh pengerusi perlawanan, Awang Seruji bin Haji Setia pada sidang media Perlawanan Golf Amal Pusat Ehsan kali ke-17, yang bertempat di RBGC, pagi tadi.

    Menurut beliau, kejohanan tersebut dijalankan berdasarkan ‘System 36 (Stroke Play)’ bagi nett dan gross.

    Namun bagi 12 pemain teratas gross, mereka akan berpeluang menyertai acara Special Sunday Gross yang akan dijalankan secara percuma untuk bertanding bagi mendapatkan trofi cabaran.

    Yuran pendaftaran bagi kejohanan berkenaan adalah termasuk sarapan, makan tengah hari dan bugi, yang mana borang penyertaan bolehlah didapatkan di RBGC atau memuat turun borang berkenaan di laman web Pusat Ehsan.

    Awang Seruji turut memberitahu bahawa selain daripada hadiah utama tersebut, para peserta juga berpeluang untuk memenangi hadiah yang menarik seperti kereta, wang tunai dan sebagainya bagi mereka yang mendapat hole-in-one di lubang yang tertentu. Manakala para peserta turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah dan lainnya seperti mereka yang mendapat nearest to the pin, bulls eyes dan Putts Stop Challenge.

    Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada RBGC dan CityNeon atas sokongan dalam menjayakan perlawanan kali ini dan juga kepada rakan kongsi acara berkenaan iaitu pihak Borneo Bulletin dan Media Permata selaku penyokong media cetak eksklusif bagi perlawanan tersebut.

    Jawatankuasa penasihat perlawanan berkenaan,  Dato Paduka Haji Mohammad Alimin bin Haji Abdul Wahab pada sidang media tersebut turut menjelaskan bahawa kejohanan golf amal ini antara lain bertujuan bagi mengumpulkan dan menambahkan dana bagi Pusat Ehsan yang merupakan sebuah organisasi amal bukan kerajaan dan bukan berdasarkan keuntungan, memperoleh dana sepenuhnya daripada sumbangan masyarakat.

    Awang Seruji ketika memberi penerangan semasa sidang media Perlawanan Golf Amal Pusat Ehsan kali ke-17 di RBGC, kelmarin.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda