TOKYO, 16 JULAI – Kemunculan seekor beruang pada pagi tadi telah memaksa penganjur satu kejohanan golf di Jepun membatalkan hari pembukaan kali kedua gangguan oleh haiwan itu menghentikan permainan dalam tempoh dua bulan terakhir.
Beruang tersebut dilihat berhampiran kawasan tee pertama di kejohanan Meiji Yasuda Ladies yang berlangsung di Kelab Golf Klasik Sendai di utara Jepun, sebahagian daripada Jelajah Profesional Wanita JLPGA.
Pertandingan Pro-Am yang dijadualkan berlangsung pada hari yang sama telah dibatalkan, dan penganjur kemudiannya memutuskan untuk membatalkan juga hari pembukaan kejohanan pada Khamis.
Penganjur berkata keputusan sama ada untuk meneruskan atau membatalkan baki kejohanan yang menawarkan jumlah hadiah keseluruhan 100 juta yen (kira-kira AS$670,000) akan diumumkan kemudian.
“Pada hari Rabu, satu laporan kemunculan beruang di kawasan padang telah diterima dan kejohanan Pro-Am dibatalkan bagi melindungi keselamatan peserta, pemain dan kakitangan,” menurut satu kenyataan di laman web rasmi kejohanan.

“Bagi menjamin keselamatan dan mempertimbangkan langkah-langkah seterusnya, kami telah memutuskan untuk membatalkan hari pembukaan pada Khamis.
“Kami akan mengumumkan maklumat lanjut tentang kejohanan bermula Jumaat sebaik sahaja keputusan dibuat.”
Pada bulan Mei, pusingan akhir kejohanan Twinfield Ladies dalam siri jelajah peringkat kedua wanita, Step Up Tour, di tengah Jepun turut dibatalkan selepas seekor beruang dilihat di kawasan padang golf.
Sebulan selepas itu, seekor beruang yang berkeliaran di landasan pesawat telah menyebabkan sebuah lapangan terbang di Jepun membatalkan semua penerbangan dan menutup operasi kepada penumpang sepanjang hari.
Kes pertembungan manusia dengan beruang di Jepun mencatat rekod tertinggi tahun lalu, dengan 219 orang diserang dan enam kematian direkodkan dalam tempoh 12 bulan sehingga April 2024.
Para saintis berkata perubahan iklim yang menjejaskan sumber makanan dan waktu hibernasi, selain masalah penyusutan penduduk akibat penuaan masyarakat, menyebabkan beruang semakin kerap memasuki kawasan penempatan manusia. – AFP