SHANGHAI, 31 MEI – Beberapa perlawanan kelayakan Piala Dunia yang dijadualkan berlangsung di China telah dipindahkan ke Dubai hari ini ekoran jangkitan koronavirus dalam pasukan Syria dan Maldives, menurut Persatuan Bola sepak China.
Tujuh perlawanan Kumpulan A melibatkan China, Syria, Maldives, Filipina dan Guam turut terjejas, menjadikan keadaan kecoh dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022.
“Disebabkan oleh jangkitan epidemik berlaku baru-baru ini antara pasukan bola sepak Maldives dan Syria, mereka mesti menjalani pengasingan diri yang ketat sebaik sahaja masuk dan tidak dibenarkan untuk menyertai perlawanan seperti dijadualkan,” menurut kenyataan CFA.
“Menurut saranan daripada Konfederasi Bola sepak Asia (AFC), FA China bersetuju bahawa baki perlawanan kelayakan tidak akan diadakan di Suzhou dan akan dipindahkan ke Dubai dan berlangsung di sana,” tambahnya.
Perlawanan sepatutnya mengambil tempat di gelembung keselamatan di bandar Suzhou, China. Menurut Titan Sports China, pasukan Maldives dan Syria sudah tiba di Dubai dan dinafikan kebenaran untuk berlepas ke China.
Penyerang Maldives, Ali Ashfaq berkata melalui Twitternya bahawa dia telah diuji positif dan tidak akan beraksi di perlawanan kelayakan. – AFP
