Perlawanan pembukaan Ligue 1 ditunda

MARSEILLE, 18 OGOS – Musim pembukaan Ligue 1 pada hari Jumaat ini akan ditunda selepas tiga lagi didapati positif dijangkiti COVID-19 dari pasukan Marseille, yang akan berdepan Saint-Etienne.

Empat orang di Marseille kini telah menunjukkan positif koronavirus.

Marseille berkata hari ini bahawa kesemua butiran telah dihadapkan ke LFP, badan pengurusan yang menjalankan bola sepak profesional di Perancis.

LFP kemudian mengesahkan bahawa perlawanan pada hari Jumaat akan ditunda, akan dilangsungkan sama ada pada 16 atau 17 September ‘tertakluk kepada perubahan keadaan di sekitar kelab Olympique de Marseille’.

Pasukan Andre Villas-Boas telah membatalkan perlawanan persahabatan pada 14 Ogos menentang Stuttgart dari Jerman sebagai langkah berjaga-jaga.

Pesaing dari Ligue 1, Nimes mengumumkan dua kes yang disyaki dalam skuadnya dan kesemua kakitangan telah menjalani pengasingan diri sementara menunggu keputusan ujian.

Nimes telah menjadi tuan rumah kepada Marseille pada 9 Ogos lalu dalam perlawanan persahabatan.

Sekurang-kurangnya 37 pemain Ligue 1 dari 11 buah kelab telah diuji positif COVID-19 dalam beberapa minggu kebelakangan. – AFP