Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perlawanan separuh akhir Piala FA dijadikan projek rintis

    LONDON, 30 MAC – Perlawanan separuh akhir Piala FA dan Kejohanan Snuker Dunia akan dijadikan sebagai acara rintis bagi kepulangan peminat ketika sekatan koronavirus di England dilonggarkan, kata Setiausaha Kebudayaan, Oliver Dowden, kelmarin.

    Negara tersebut memasuki fasa kedua peta laluan keluar dari perintah berkurung setelah pengagihan vaksin yang berjaya.

    Sukan luar dewan kini dibenarkan disambung semula tetapi pelonggaran sekatan bergantung kepada kejayaan berterusan pengagihan vaksin serta kadar jangkitan.

    Salah satu perlawanan separuh akhir Piala FA di Wembley pada April akan menjadi sebahagian daripada acara rintis sebagai percubaan kepulangan peminat yang ramai.

    Chelsea akan bermain menentang Manchester City pada 17 April, sementara Leicester akan bertemu Southampton pada hari berikutnya.

    Perlawanan akhir Piala FA dan Kejohanan Snuker Dunia di Sheffield turut dijadualkan tetapi senarai penuh acara rintis masih belum diterbitkan.

    “Kami mahu orang ramai kembali dengan selamat,” Dowden memberitahu BBC. “Kami mahu menjadikannya mudah dan senang untuk semua orang. Oleh sebab itu kami mengadakan projek rintis ini.

    “Rancangannya adalah untuk melihat faktor seperti sistem sehala, pengudaraan di dalam stadium dan bagaimana anda bertindak mengenai jalan keluar dan masuk dari tempat perlawanan.”

    Dowden enggan mengulas mengenai jumlah penonton yang akan dibenarkan untuk menghadiri perlawanan separuh akhir di Wembley yang akan digunakan sebagai projek rintis.

    Langkah ketiga pelonggaran sekatan, pada 17 Mei adalah yang paling cepat, membenarkan stadium untuk membukakan had kapasiti 25 peratus, sehingga maksimum 10,000 penonton.

    Rancangan ketika ini adalah semua sekatan ke atas kontak sosial akan dilonggarkan pada 21 Jun.

    Wembley menjadi hos bagi tujuh perlawanan EURO 2020, termasuk kedua-dua perlawanan separuh akhir, pada 6 dan 7 Julai, dan perlawanan akhir pada 11 Julai.- AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda