BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Penyertaan khas telah diberikan oleh Insurans Islam TAIB General Takaful (IITGT) kepada El-Abqari Sdn Bhd untuk menyediakan perlindungan kepada semua jemaah umrah dan pelancong lain.
Majlis penandatanganan bagi penyertaan khas berkenaan telah diadakan di pejabat El-Abqari Sdn Bhd di Kompleks Pengkalan Gadong, baru-baru ini, menurut kenyataan IITGT.
Menandatangani bagi pihak IITGT ialah Pemangku Pengarah Urusan Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd, Hajah Nornaimah binti Haji Zainip disaksikan Pengurus Besar IITGT, Haji Zamrin bin Haji Abdul Ghani.
Sementara itu, El-Abqari Sdn Bnd diwakili oleh Pengarah Urusan, Haji Alimin bin Haji Jaafar disaksikan Pengurus Besar, Haji Adinin bin Haji Jaafar.
Dengan penyertaan itu, pelanggan yang membeli pakej-pakej umrah daripada El-Abqari Sdn Bhd secara automatik dilin-dungi produk Duyufur Rahman, General Takaful.
Menerusi produk perlindungan itu, para pelanggan akan mendapat bantuan segera daripada pegawai-pegawai General Takaful yang ditempatkan di dua tanah suci jika berlaku sebarang malapetaka yang tidak dijangkakan. Selain itu, pelanggan yang membeli pakej-pakej pelancongan lain juga akan secara automatik dilindungi di bawah produk Takaful Kembara yang menawarkan 21 perlindungan termasuk perlindungan rumah apabila berada di luar negara.
