Friday, July 25, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perlu ada dashcam dalam kereta!

    Memang susah nak agak apa yang akan berlaku bila awda memandu. Setiap saat awda kena berwaspada kalau kereta di hadapan brek secara mengejut, lori besar tiba-tiba tukar lorong, pemandu yang lawan arus dan macam-macam lagi.

    Sebab inilah semua pemandu disarankan untuk memasang dashcam dalam kereta masing-masing sebagai perlindungan tambahan apabila memandu di jalan raya.

    Jom ketahui lima sebab utama kenapa awda perlu ada dashcam dan juga ciri penting yang awda perlu ambil kira untuk pilih dashcam yang terbaik dari blog Carsome.My.

    1) LINDUNGI DIRI BILA BERLAKU KEMALANGAN

    Malang tidak berbau, kemalangan boleh berlaku bila-bila masa saja. Kalau kereta awda dilanggar oleh kereta lain semasa sedang dipandu, rakaman dashcam boleh digunakan sebagai bukti untuk menentukan pihak mana yang bersalah dan ia juga boleh memudahkan tuntutan insurans awda. Jadi, dashcam memang sangat berguna kalau awda terlibat dalam kemalangan.

    2) RAKAM PEMANDUAN BERBAHAYA SEBAGAI BUKTI

    Dashcam bukan saja boleh melindungi diri awda, tapi ia juga memainkan peranan penting jika awda mahu melaporkan pemandu lain yang memandu secara berbahaya di jalan raya.

    Contohnya kalau dashcam awda ada merakam kereta yang dipandu secara melulu atau melawan arus, rakaman itu boleh dihantar kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

    Pemilik kereta disarankan untuk memasang dashcam dalam kereta masing-masing sebagai perlindungan tambahan. – Freepik
    Rakaman dashcam boleh digunakan sebagai bukti untuk menentukan pihak mana yang bersalah semasa kemalangan. – Freepik
    Dashcam perlu dilengkapi dengan pelbagai fungsi moden. – Envato
    Awda perlu menggunakan kit khusus untuk menyambungkan dashcam secara terus pada pendawaian kereta. – Envato

    3) ELAK PENIPUAN KEMALANGAN

    Pernah tidak awda melihat rakaman video kemalangan yang mencurigakan? Ada sesetengah kejadian dalam video kemalangan merupakan penipuan di mana si pelaku sanggup membahayakan diri serta menanggung kecederaan untuk menipu pengguna jalan raya bagi mendapatkan pampasan hasil daripada situasi tersebut.

    Awda boleh mengelak daripada terlibat dalam kejadian penipuan kemalangan itu dengan menggunakan rakaman dashcam.

    4) PANTAU KERETA DARI JAUH

    Katakanlah awda sedang bekerja dan kereta awda parkir jauh dari tempat kerja awda.

    Tiba-tiba ada kereta lain melanggar kereta awda dan terus beredar tanpa rasa bersalah.

    Jika tiada dashcam, awda tidak akan tahu apa yang sebenarnya berlaku.

    Ada sesetengah dashcam yang dilengkapi dengan fungsi Parking Monitoring System yang akan mula merakam sebaik saja ia mengesan hentaman pada kereta awda. Itu akan membantu awda mencari pelaku untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan yang diperlukan.

    5) BOLEH AMBIL GAMBAR DAN VIDEO SEMASA ROAD TRIP

    Apa persamaan antara dashcam dengan kamera? Kedua-duanya boleh digunakan untuk mengambil gambar dan juga merakam video. Tambahan pula, kebanyakan dashcam terkini turut dilengkapi dengan resolusi sehingga 4K yang berupaya merakam gambar dan video yang jelas dan terang.

    Jadi awda sudah tidak perlu pasangkan kamera tambahan dalam kereta awda, cukuplah dengan menggunakan dashcam dalam kereta untuk merakam kenangan manis semasa road trip awda bersama keluarga dan rakan-rakan!

    Macam mana pula nak dapatkan dashcam dalam kereta yang terbaik?

    • RESOLUSI VIDEO KENA TINGGI

    Lima tahun dulu mungkin rakaman dengan resolusi 1080P boleh diterima, tapi sekarang awda perlukan dashcam yang mempunyai sekurang-kurangnya rakaman video dengan resolusi 1440P atau 2K untuk pastikan semua butiran dalam video boleh dilihat dengan jelas.

    Lagi bagus kalau dashcam dalam kereta awda turut dilengkapi dengan teknologi khusus yang menaikkan lagi kualiti video yang dirakam.

    • CIRI KESELAMATAN YANG CANGGIH

    Sekarang bukan kereta saja perlukan pelbagai ciri keselamatan yang canggih, dashcam juga perlu dilengkapi dengan pelbagai fungsi moden seperti Sensor G dan Parking Monitoring System yang sangat berguna untuk memberi kereta awda perlindungan yang lebih komprehensif, walaupun ketika berada di kawasan letak kereta.

    • TIDAK BEBANKAN BATERI KERETA

    Ramai yang tidak berani nak gunakan dashcam dalam kereta kerana bimbang ia akan menjejaskan prestasi bateri kereta. Untuk gunakan sepenuhnya fungsi tambahan pada dashcam awda perlu menggunakan kit khusus untuk menyambungkan dashcam secara terus pada pendawaian kereta.

    Carilah dashcam yang mempunyai teknologi khas untuk melindungi bateri kereta awda. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda