Oleh Fadley Faisal
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Mahkamah Majistret, di sini, hari ini memerintahkan seorang lelaki warga Indonesia membayar denda berjumlah $89,500 selepas dia mengaku bersalah memiliki rokok seludup.
Andrik Setiawan berdepan penjara 22 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Pegawai Pendakwa Kastam, Awangku Muhamad Afiq bin Pengiran Haji Nordin memaklumkan kepada mahkamah bahawa defendan didapati membawa 114 karton dan dua paket rokok dalam sebuah kenderaan apabila dihentikan pada satu pemeriksaan semasa dia dalam perjalanan di Bunut pada pukul 6:53 petang, 28 Julai.
Siasatan lanjut di kediaman defendan di Jalan Tutong pada hari yang sama telah menemui satu lagi karton rokok yang disembunyikannya.
Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid memerintahkan supaya rokok-rokok yang tidak diisytiharkan itu diserahkan kepada kerajaan.