KOTA KINABALU, 29 Nov – Pengurusan dan pengendalian krisis keganasan di negara ini perlu sentiasa berada pada tahap optimum bagi memastikan keamanan dan keselamatan terus terpelihara, kata Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Pengurusan Keselamatan) Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad.
Sehubungan itu, beliau berkata Prosedur Tetap Ope-rasi (PTO) sedia ada jabatan atau agensi berkaitan perlu sentiasa disemak dan diuji bagi mengenal pasti sebarang ruang penambahbaikan bagi memastikan ia boleh dilaksanakan dan kekal relevan dengan ancaman semasa.
“Ancaman kumpulan pengganas di Malaysia bukan perkara baharu seperti insiden pengeboman yang pernah berlaku pada 28 Jun 2016 di Puchong yang didakwa dilakukan oleh kumpulan Daesh. Walaupun skala insiden itu kecil namun ia tidak boleh dipandang rendah.
“Tangkapan lapan individu di Putrajaya dan Sabah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas baru-baru ini juga telah membuktikan bahawa kita perlu terus bersiap siaga dan berada di tahap terbaik dalam menghadapi kemungkinan ancaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan seminar dan Table Top Exercise (TTX) Siri 66/2018 Eksesais Jerung Emas (EJE) yang disertai 33 agensi keselamatan di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim dan Komander Pasukan Gerakan Am Briged Sabah Datuk Zainuddian Samsu Hadi, dan Pengarah Operasi Khas Markas Angkatan Bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kapten Mohd Redzuan Talib.
Rodzi berkata pelaksanaan seminar dan TTX EJE berkenaan antara usaha untuk menguji kemampuan dan kesiapsiagaan pengendalian dan pengurusan insiden keganasan melibatkan pelantar minyak dan instalasi di perairan negara. – Bernama