MUSIM kembali ke sekolah sedang hangat berlangsung. Semua pasaraya besar giat menjalankan kempen Kembali Ke Sekolah bagi memenuhi kehendak ibu bapa yang sedang menyiapkan kelengkapan persekolahan anak-anak.
Dalam mempersiapkan kelengkapan sekolah anak-anak, anda perlu menjadi pembeli bijak agar dapat menjimatkan perbelanjaan dan tidak berbelanja secara boros.
Berikut dikongsikan beberapa tip bijak dalam berbelanja untuk persiapan sekolah anak-anak:
1. Beli yang perlu sahaja
Kenal pasti keperluan sekolah anak anda. Buatkan senarai dan keluarkan senarai yang tidak perlu seperti sticker atau pelekat nama, tali leher, tali pinggang, botol air dan lain-lain. Ingat! Bukan semua benda perlu yang baharu setiap kali memulakan sesi persekolahan.
2. Tetapkan bajet
Anda perlu tetapkan berapakah bajet untuk membeli barang keperluan supaya anda tidak membeli barangan yang mahal harganya.
3. Beli ketika promosi
Harga promosi selalunya lebih murah dari harga biasa. Berbelanja ketika jualan murah dapat menjimatkan kos. Jualan Kembali Ke Sekolah yang diadakan pada setiap hujung tahun dan awal tahun biasanya menyediakan lebih banyak pilihan.
4. Buat perbandingan harga
Ini adalah penting supaya anda tidak tertipu dengan kempen jualan murah yang diadakan. Jangan lupa bandingkan juga harga barangan yang dijual secara dalam talian.
5. Minta dari saudara-mara
Jika ada saudara-mara yang telah tamat persekolahan, anda boleh meminta barang yang masih elok daripadanya seperti buku, bag, baju, kasut dan sebagainya.
6. Berbelanja di dalam talian
Berhati-hati ketika membeli barangan secara dalam talian agar tidak tersalah saiz atau kualiti.
Banyak barang keperluan sekolah yang lebih murah boleh didapati secara dalam talian namun pastikan anda membaca keterangan produk terlebih dahulu sebelum membuat pembelian. – Agensi