Thursday, November 28, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perlu bina lebih banyak tenaga kerja kardiologi

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Pada masa ini, nisbah pakar kardiologi kepada penduduk di Negara Brunei Darussalam adalah satu pakar kardiologi bagi setiap 37,500 orang iaitu nisbah yang hampir serupa dengan United Kingdom dengan satu pakar kardiologi bagi setiap 33,000 orang.

    Nisbah itu jika dibandingkan dengan negara-negara Kesatuan Eropah (EU) adalah kira-kira satu pakar kardiologi bagi setiap 10,000 orang dan Amerika Syarikat dengan satu pakar kardiologi bagi setiap 7,000 orang.

    Walaupun negara ini amat beruntung kerana mempunyai pakar kardiologi yang berkemahiran dan berdedikasi di negara ini, permintaan bagi perkhidmatan mereka semakin meningkat.

    “Ini menekankan keperluan untuk melabur dalam pengambilan dan latihan lebih ramai pakar kardiologi dan pakar jantung.”

    Penekanan itu dibuat oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam ucapannya di Mesyuarat Saintifik Tahunan Persatuan Jantung Negara Brunei Darussalam ke-11 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, kelmarin.

    Beliau menyatakan salah satu langkah kritikal yang boleh menghubungkan jurang berkenaan adalah menerusi penumpuan latihan dan pembangunan profesional penjagaan kesihatan dalam negara.

    Ia termasuk bukan sahaja doktor tetapi juga jururawat dan profesional kesihatan bersekutu yang memainkan peranan penting dalam penjagaan pesakit kardiovaskular.

    Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Dato menggalakkan para doktor, jururawat dan profesional kesihatan bersekutu tempatan untuk mengikuti latihan khusus dalam bidang kardiologi.

    Beliau menyatakan terdapat keperluan untuk tenaga kerja yang dilengkapi dengan kemahiran dan ilmu pengetahuan untuk mengurus beban penyakit jantung yang semakin bertambah.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa menghadiri mesyuarat berkenaan.

    Pendidikan perubatan berterusan, program persijilan khusus dan peluang latihan amali adalah amat penting untuk memastikan bahawa profesional penjagaan kesihatan negara kekal berada di barisan hadapan penjagaan kardiovaskular.

    “Kementerian Kesihatan komited untuk menyokong usaha ini dengan menyediakan pembiayaan dan akses kepada program latihan antarabangsa, serta dengan meningkatkan peluang latihan tempatan.”

    Mesyuarat yang membawa tema, Kardiologi Setiap Hari, mengumpulkan pakar kardiologi, penyelidik dan profesional penjagaan kesihatan untuk berkongsi perkembangan terkini dalam rawatan dan kesihatan jantung.

    Mesyuarat itu menyaksikan pelancaran logo Persatuan Jantung Negara Brunei Darussalam yang baru hasil ciptaan Dayang Nurajilla binti Haji Abdullah.

    Jantung 4- YB Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyampaikan cenderamata kepada pencipta logo baru, Persatuan Jantung Negara Brunei Darussalam, Dayang Nurajilla.

    Mesyuarat berkenaan juga menyaksikan pembentangan ucaptama bertajuk AI dalam Perubatan Kardiovaskular: Peluang dan Cabaran oleh Mantan Presiden, Kolej Kardiologi Amerika, Dr Dipti Itchhaporia di mana beliau memberikan gambaran menyeluruh mengenai revolusi data masa kini yang akan terus mengubah perubatan klinikal di mana jika digunakan dengan betul akan memberikan manfaat kepada doktor dan juga pesakit.

    Dr Dipti Itchhaporia menyampaikan ucaptama.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyampaikan cenderamata kepada pembentang ucaptama, Dr Dipti Itchhaporia.

    Mesyuarat itu juga mengetengahkan sesi pembentangan kertas kajian yang oleh para penyelidik untuk membentuk masa depan penjagaan jantung.

    Antara yang hadir ke mesyuarat berkenaan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda