Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Pelaksanaan beberapa perkara utama telah memberikan kesan positif dalam memastikan sesi Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) lebih tersusun dan efektif dan menghargai kerjasama ahli MMN dalam memastikan perbahasan lebih fokus dan berdisiplin.
Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib juga mengingatkan ahli MMN untuk memastikan setiap perbahasan memberikan nilai tambah kepada dasar kerajaan dalam ucapannya semasa Persidangan MMN yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Menjunjung kasih akan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin menekankan akan keperluan menggubal kod etika bagi memperkukuh profesionalisme dan integriti ahli majlis dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Kod etika ini akan menjadi panduan dalam memastikan majlis berfungsi secara lebih tersusun dan berkesan.
Yang Berhormat Pehin juga menyatakan bahawa cabaran global dan ekonomi yang semakin mencabar menuntut pemikiran yang lebih strategik.
Dengan perubahan landskap dunia yang tidak menentu, persiapan ke arah masa depan yang lebih berdaya tahan dan inovatif menjadi keutamaan, seiring dengan usaha mencapai Wawasan Brunei 2035.

Terdahulu Persidangan MMN ke-21 dimulakan dengan waktu pertanyaan bagi jawab lisan, di mana lapan pertanyaan dijawab merangkumi isu-isu seperti penggunaan tapak industri dan peluang kepada kontraktor tempatan, cabaran tenaga kerja dalam sektor swasta, keperluan perumahan luar bandar dan bantuan kepada masyarakat.
Isu lain seperti sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan pengurusan aduan, pencen dan permohonan perumahan juga turut dibincangkan.
Persidangan kemudian ber-alih ke perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2025/2026 dan Usul Ketetapan Kumpulan Wang Kemajuan, bagi meluluskan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (Tajuk SN01A hingga Tajuk SN09A) untuk dimasukkan dalam jadual.
Perbahasan tertumpu kepada pendigitalan perkhidmatan, termasuk penambah baikan sistem pembaharuan lesen memandu, pembangunan identiti digital serta cadangan bagi pemantapan keselamatan siber.
Sektor pengangkutan turut dibangkitkan termasuk beberapa cadangan bagi pengangkutan awam, sistem park and ride dan penggunaan teknologi bagi pemantauan trafik.
Selain itu, isu pemerkasaan e-hailing, penambahbaikan infrastruktur lapangan terbang, serta pembangunan sektor maritim dan inisiatif meningkatkan hasil kerajaan turut dibincangkan.
Sesi perbahasan peringkat jawatankuasa kemudiannya meluluskan tajuk Kemajuan (SP01A).
Rang Undang-undang (2025) Perbekalan, 2025/2026 dan Usul Ketetapan Kumpulanwang Kemajuan telah diluluskan MMN selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, setelah jawatankuasa mempertimbangkan tanpa sebarang pindaan.
Dewan turut meluluskan Usul Senarai Perintah-perintah Yang Telah Diluluskan di bawah Perkara 83 (7) dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam 1959 yang telah dicadangkan oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Selain itu, Usul Penangguhan yang turut dicadangkan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi, telah diluluskan.
Sejak bermulanya persidangan pada 26 Februari lalu, pelbagai aspek pembangunan negara telah dibincangkan dengan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2025/2026 berlangsung selama lebih seminggu di peringkat Jawatankuasa.
Persidangan MMN ditangguhkan dan akan bersidang lagi pada satu tarikh yang belum ditetapkan.