ISTANBUL, 9 APRIL – Syarikat teknologi berpangkalan di Amerika Syarikat, Meta yang memiliki Facebook dan Instagram mengumumkan bahawa pengguna Instagram berumur bawah 16 tahun tidak lagi dibenarkan menggunakan ciri siaran langsung tanpa kebenaran ibu bapa atau penjaga, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Meta menyatakan bahawa melalui kemas kini pada ciri Akaun Remaja atau Teen Accounts di Instagram, pengguna bawah 16 tahun juga tidak lagi boleh mematikan fungsi kabur automatik dalam mesej peribadi. Ciri keselamatan Teen Accounts ini juga akan diperluaskan ke platform Facebook dan Messenger.
Kemas kini ini akan diuji terlebih dahulu di Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada dan Australia dalam beberapa bulan akan datang.
Ciri Teen Accounts pertama kali diperkenalkan pada September lalu bagi mengehadkan penggunaan platform oleh golongan remaja dan meningkatkan langkah-langkah keselamatan.
Langkah itu turut sejajar dengan usaha di banyak negara untuk mengehadkan atau mengharamkan penggunaan media sosial di bawah usia tertentu, susulan pelbagai kajian yang menunjukkan kesan buruk penggunaan media sosial terhadap perkembangan mental golongan muda. – Bernama/Anadolu
