BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi ini berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) ke-413 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) ke-191 bagi Suku Keempat tahun 2024 yang berlangsung di Bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Dato Seri Paduka Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, selaku ahli-ahli Lembaga Pengarah BSP dan BSM.
Pada mesyuarat berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah menekankan keperluan bagi kepimpinan yang kukuh, bersama dengan kepakaran teknikal, komitmen yang teguh dan usaha bersepadu kalangan Syarikat Usaha Sama Brunei Shell (BSJV) dan BGC menghadapi cabaran masa depan dengan jayanya.
Mesyuarat tersebut dimulakan dengan bacaan doa, dan juga dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk shareholder directors yang mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Shell PLC serta ahli-ahli pengurusan dari BSP dan BSM.
Selain itu, mesyuarat juga telah membincangkan bidang-bidang kritikal seperti prestasi operasi, keselamatan, kewangan dan pembangunan tenaga manusia serta menetapkan hala tuju strategik BSP dan BSM bagi tahun-tahun yang akan datang.
Mesyuarat tersebut merupakan persidangan terakhir bagi Mesyuarat-mesyuarat Lembaga Pengarah-pengarah BSJV dan BGC bagi Suku Keempat tahun 2024.