SOCHI, 30 SEPT – Ketua pasukan Ferrari, Mattia Binotto mengakui pasukan itu perlu berkomunikasi dengan lebih tepat dan mengeluarkan arahan lebih jelas pada setiap pra perlumbaan bagi mengelak pertengkaran menerusi radio seperti berlaku di Grand Prix Rusia, di sini, semalam.
Charles Leclerc bermula dari petak depan tetapi diminta memberi laluan kepada Sebastian Vettel memintasnya namun kemudian pelumba Jerman itu tampak enggan memberi laluan kepada Leclerc.
Vettel bagaimanapun terkeluar pada pusingan ke-28 susulan kegagalan enjin sekali gus memaksa Kereta Keselamatan digunakan sekali gus membolehkan pelumba Mercedes, Lewis Hamilton mendahului seterusnya menjuarai perlumbaan buat kali ke-82 sepanjang kariernya. “Kami minta Charles berikan laluan kepada Seb kerana pada masa itu ia senario paling sesuai untuk mereka berdua mendahului pada selekoh pertama,” kata Binotto.
“Tetapi kami perlu lebih tepat dan jelas dengan arahan sebelum perlumbaan. Kami akan bercakap dengan mereka untuk menilai semula perkara yang berlaku di permulaan perlumbaan itu.”
Leclerc mengemukakan komplen menerusi radio sejurus Vettel memintas namun ia jelas mustahil untuk mereka menguasai perlumbaan ketika Ferraimemilih untuk menggunakan tayar lembut berbanding Mercedes menggunakan tayar jenis medium di permulaan perlumbaan.
“Selepas kejadian hari ini, kami akan lebih agresif,” kata Binotto. “Kemenangan tempat ketiga ini mengecewakan kerana ia daripada kesilapan kami sendiri.”
Leclerc menamatkan perlumbaan di tangga ketiga di belakang juara Hamilton dan rakan sepasukannya, Valtteri Bottas.
Binotto juga mengakui beliau tiada halangan dengan tindakan Vettel memecut selepas diberi laluan memintas. “Seb sangat pantas dan kami gembira dengannya,” katanya.
“Pada saya, perlumbaan hari ini (semalam) sudah sempurna. Jika tidak disebabkan dia berhenti, kami tentunya menang di tempat kedua.
Namun Binotto mengakui bahawa Ferrari mesti sempurna dalam setiap segi untuk mengelak kekecewaan.
“Untuk menang, kami perlu kesempurnaan, kami tak sempurna hari ini,” katanya. – AFP