Semenjak penularan wabak COVID dua tahun yang lalu, orang ramai semakin banyak memulakan perniagaan kecil-kecilan atau mikro terutamanya dalam bidang penjualan makanan dan minuman.
Perniagaan dilakukan kadang-kadang untuk memenuhi keperluan pendapatan harian, berikutan terkesan dengan penularan wabak khususnya mereka yang kehilangan pekerjaan dan juga sebagai tambahan kepada pendapatan bulanan daripada pekerjaan tetap.
Sehubungan itu, para peniaga akan menjual secara dalam talian di laman-laman media sosial, menghantar ke kedai-kedai runcit atau kiub dan ada juga menjual di gerai-gerai di tepi jalan.
Apa yang saya cuba bangkitkan di sini adalah mengenai status halal bagi para peniaga yang menghantar ke kedai-kedai runcit.
Mungkin saya agak terkejut dengan perkara ini kerana mendapati salah sebuah kedai di kampung saya menerima peniaga yang bukan beragama Islam.

Saya sebagai pembeli wajar berasa was-was dengan barang jualannya dan ingin tahu bagaimana pihak pekedai boleh sewenang-wenangnya menerima peniaga berkenaan untuk menjual makanan di kedai mereka.
Saya cuba menegur pihak pekedai namun mereka tidak mengendahkannya dan lebih menyakitkan hati lagi, pekerja pekedai itu mengatakan tiada siapa yang tahu makanan berkenaan itu dihantar oleh orang bukan beragama Islam.
Memang tiada yang tahu, sebagai salah seorang yang tahu akan perkara tersebut, wajar untuk menyuarakan di ruangan pendapat kerana berkemungkinan bukan kedai tersebut saja melakukan perkara sedemikian malah kedai-kedai lain juga melakukan perkara yang sama.
Pihak relevan perlu memantau perkara ini kerana pihak pekedai hanya mementingkan keuntungan berban-ding kemaslahatan pelanggan.
Sehubungan itu, adalah perlu pihak peniaga yang menjual makanan ini tidak hanya tertumpu di kedai-kedai runcit malah di mana saja, perlu mendapatkan logo atau status halal daripada pihak-pihak berkenaan demi kemaslahatan dan keselamatan pembeli terutama masyarakat Islam.
Orang Awam









