Perlu peka hal ehwal semasa

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Pendedahan kepada hal ehwal semasa ekonomi dan politik mampu memberikan gambaran serta mempersiapkan kita untuk lebih peka mengenai pandangan global dan trend akan datang.

Oleh itu, dalam pasaran yang semakin tidak menentu dan sukar untuk diramal, kerjasama dengan pakar antarabangsa dapat membantu memberikan maklumat terkini mengenai perkembangan, trend serta pandangan ekonomi.

Ketua Perbankan Runcit dan Rangkaian Cawangan Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha berkata demikian pada seminar bertajuk, ‘Double Trouble: Trade Wars and Liquidity Retraction’ yang berlangsung di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Beliau juga menyatakan bahawa Bank Baiduri akan terus mengadakan seminar yang mengetengahkan pakar dan penganalisis pasaran serantau serta menawarkan pelbagai produk kewangan dan pelaburan yang memenuhi kehendak dan keperluan pada pelanggan.

Di samping itu, jelasnya lagi, Bank Baiduri mempunyai pasukan perancang kewangan terlatih di cawangannya untuk memberikan pelbagai khidmat kewangan termasuk konsultasi dan analisis profil risiko bagi memastikan pelanggan mereka mendapat penyelesaian yang sesuai.

Seminar anjuran Bank Baiduri bersama Mizuho Bank Limited, Singapura itu dihadiri oleh para pelanggan Bank Baiduri; pihak pengurusan termasuk Ketua Pengurusan Harta Bank Baiduri, Peng Eng Soon dan para perancang kewangan kanan.

Seminar itu disampaikan oleh Pakar Strategi Pertukaran Asing Asia dan Oceania, Jabatan Perbendaharaan Mizuho Bank Limited, Chang Wei Liang di mana beliau memberikan pandangan mengenai kemurungan ekonomi dan limpahan kewangan daripada perangan tarif Amerika Syarikat dan China serta prospek rundingan semasa.

Pengiran Azaleen menyampaikan kata alu-aluannya semasa seminar di Hotel Radisson, kelmarin.
Pengiran Azaleen bersama para pelanggan Bank Baiduri serta jemputan khas yang menghadiri seminar berkenaan kelmarin.