Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perlu pendedahan lebih kompetitif

    Oleh Mohamad Asyramisyanie

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Pasukan Hoki Wanita Negara Brunei Darussalam memerlukan pendedahan kompetitif kerana ada pasukan wanita lain yang boleh menjadi saingan, selain pendedahan perlu dibuat pada peringkat serantau atau antarabangsa sebagai cabaran utama dan ukuran pembangunan skuad hoki kebangsaan.

    Jurulatih hoki kebangsaan, Fauzi Haji Awang menambah bahawa ia pasti tidak elok jika pasukan hoki wanita berlawan dengan pasukan lelaki meskipun dengan tujuan untuk memberikan pendedahan dan pengalaman kepada mereka, bahkan perlawanan di dalam negara masih dikira domestik dan hanya latihan biasa.

    Beliau yang ditemui di Stadium Hoki Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas selepas perlawanan pendedahan menentang pasukan dari Sekolah Sukan Melaka yang kini berada di negara ini.

    Beliau turut menegaskan meskipun waktu latihan menjadi cabaran di kalangan pemain, mereka tetap bersemangat tinggi dan membuat pengorbanan untuk hadir, meskipun terpaksa mengambil cuti dan beliau sangat mengharapkan supaya perkara ini akan dapat ditangani.

    Pasukan hoki wanita negara bergambar bersama barisan pemain Sekolah Sukan Melaka di Stadium Hoki Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

    Baginya, latihan setakat ini masih belum mencukupi dan masih banyak yang perlu dibuat untuk melengkapkan persiapan pasukan negara untuk menyertai kejohanan yang besar tidak lama lagi dan beliau sendiri berpendapat bahawa mereka (para pemain) mempunyai potensi besar.

    “Kebanyakan pemain kita bukan pemain sepenuh masa dan banyak terikat dengan kerja baik bersama kerajaan, swasta dan kerja sendiri. Ini serba sedikit membantutkan perkembangan kita kerana masih belum dapat perlepasan daripada kerja dan tugasan masing-masing untuk turun berlatih,” tegasnya lagi.

    Menurut Fauzi lagi, setakat ini lebih 30 pemain tersenarai sebagai pemain kebangsaan dan senarai yang ada masa ini sudah ditapis dan akan dikemaskini tidak lama lagi. Ini adalah untuk memastikan pemain yang bakal menyarung jersi negara adalah pemain yang benar-benar layak dan mampu membawa cabaran Negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda