Oleh Muhammad Basir bin Roslan
KUALA LUMPUR – Garis Panduan Antibiotik Kebangsaan 2019 (NAG 2019) yang dijangka dilancarkan tidak lama lagi dapat memberikan panduan lebih jelas mengenai pemberian antibiotik kepada pesakit sebagai langkah mengurangkan peningkatan kes berkaitan ‘superbug’.
‘Superbug’ adalah keadaan yang dikenali sebagai kerintangan antibiotik (AMR) iaitu apabila bakteria menjadi kebal atau mangli terhadap antibiotik.
Keadaan itu boleh menyebabkan penyakit yang sepatutnya mudah dirawat seperti jangkitan dan kecederaan kecil akhirnya membawa maut.
Walaupun ‘superbug’ semakin mengancam kesihatan manusia di seluruh dunia, masih ramai tidak faham atau tidak tahu akan bahayanya. AMR juga bukanlah sesuatu yang baharu dan ia mula dikesan di luar negara pada 2008.
Namun begitu, pesakit masih meminta diberikan antibiotik setiap kali bertemu doktor sehinggakan ada yang tidak berpuas hati jika preskripsi doktor tidak menyenaraikan antibiotik.



Hakikatnya antibiotik bukanlah penyelesaian bagi semua masalah kesihatan. Antibiotik hanya diberikan untuk merawat jangkitan yang berpunca daripada bakteria, dan tidak berkesan untuk jangkitan virus.
Pastinya doktor lebih mengetahui keperluan ubat-ubatan pesakitnya, justeru tidak memberikan antibiotik bagi pesakit yang mengalami demam biasa, sakit tekak, batuk atau selesema, yang biasanya berpunca daripada jangkitan virus.
Ujian kultur
Ketua Jabatan Perubatan dan Pakar Perunding Kanan (Penyakit Berjangkit), Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr Christopher Lee berkata, pihak kementerian kini dalam fasa terakhir mengkaji semula Garis Panduan Antibiotik Kebangsaan (NAG 2019) sebelum dilancarkan.
NAG 2019 bakal menjadi panduan kepada pegawai perubatan di hospital kerajaan dan swasta dalam membantu kerajaan merencana strategi untuk menentang pandemik ‘superbug’ secara agresif.
Tambah beliau, untuk NAG 2019, KKM memberikan panduan lebih jelas dan teratur kepada pegawai kesihatan di hospital kerajaan dan swasta terutamanya mengenai pemberian ubat antibiotik kepada pesakit sebelum ujian kultur dari makmal disahkan.
“Ini kerana kebanyakan doktor KKM (berdasarkan kajian ke atas NAG 2014) akan terus memberi ubat antibiotik yang kuat sebelum dapatan makmal untuk ujian kultur pesakit sampai kepada mereka.
“Selain itu, ia adalah antara usaha kerajaan melalui KKM untuk mengurangkan penggunaan antibiotik kuat (contoh: carbapenem) bagi mengekang peningkatan kes kerintangan antibiotik kuat yang dilihat semakin meningkat dari tahun ke tahun,” kata Dr Lee ketika ditemu bual Bernama baru-baru ini.
Usaha akhir
Menurut Dr Lee, NAG 2019 adalah untuk memberi panduan lebih jelas mengenai rawatan empirik kepada kalangan doktor dan ahli farmasi KKM.
“Contohnya, apabila pesakit yang bertemu doktor menunjukkan kemungkinan ada jangkitan bakteria, berdasarkan NAG doktor akan memberi jenis antibiotik biasa terlebih dahulu (contohnya penisilin).
“Antibiotik yang lebih kuat contohnya Carbapenem, hanya akan diberikan jika tiada tanda pesakit semakin pulih dan setelah keputusan ujian kultur makmal diperolehi dalam masa dua hingga tiga hari,” jelas Dr Lee lalu menegaskan bahawa Carbapenem hanya diberikan apabila ia benar-benar diperlukan sebagai usaha akhir.
NAG 2019 dijangka diterbitkan dalam tempoh suku pertama tahun ini, setelah proses mengkaji semula yang bermula pertengahan tahun lalu selesai. Kajian semula itu mengambil masa kira-kira enam atau tujuh bulan. Sebelum ini edisi pertama Garis Panduan Antibiotik Kebangsaan diterbitkan pada 2008 (NAG 2008), diikuti edisi kedua pada 2014 (NAG 2014).
“NAG adalah garis panduan professional untuk penjagaan kesihatan KKM dan kementerian tiada masalah sekiranya hospital-hospital swasta mahu membuat garis panduan masing-masing tetapi hendaklah berdasarkan NAG KKM sedia ada.
“Ini kerana setiap hospital mempunyai keperluan yang berlainan mengikut keadaan dan kes semasa,” jelas Dr Lee.
Tanya doktor
Selain itu NAG 2019 juga memberi panduan jelas kepada pegawai perubatan KKM mengenai cara mengawal infeksi di hospital.
Dr Lee berkata pakar-pakar KKM pelbagai bidang terlibat mengkaji semula NAG 2019. Mereka termasuk ahli farmasi serta pakar-pakar penyakit berjangkit, mikrobiologi dan dermatologi.
Beliau berharap orang ramai terutamanya pesakit tidak malu untuk bertanya ketika sesi konsultasi dengan doktor atau ahli farmasi mengenai keperluan mendapatkan antibiotik kerana bukan semua jangkitan bakteria memerlukan penggunaan ubat itu.
Beliau menegaskan orang ramai perlu terus diberi pendedahan bahawa antibiotik tidak boleh diambil sewenang-wenangnya kerana ada sebahagian patogen atau bakteria yang sentiasa mencari cara untuk menentang keberkesanan antibiotik.
“Jadi ketika konsultasi dengan doktor atau ahli farmasi, pesakit tidak perlu malu untuk mengesahkan keperluan mendapatkan antibiotik, kerana kadang-kadang ada golongan profesional ini terlepas pandang memberi preskripsi antibiotik tidak mengikut keperluannya,” katanya.
“Terdapat peningkatan kes ‘superbug’ terhadap Carbapenem di Malaysia, KKM pada 2018 mengeluarkan kenyataan bahawa kes ‘Carbapenem-resistant Enterobacteriaceae’ meningkat daripada 15 kes pada 2013 kepada 150 pada 2017,” katanya.
Dr Lee memberikan bayangan bahawa manusia akan kembali ke zaman gelap praantibiotik sekiranya senjata terakhir antibiotik iaitu Carbapenem tidak mampu lagi berfungsi menentang ‘superbug’.
Beliau juga memetik ‘The Review on Antimicrobial Resistance’ oleh pakar ekonomi United Kingdon, Jim O’Neill bahawa sekurang-kurangnya 700,000 kematian setiap tahun direkodkan di seluruh dunia akibat kerintangan antibiotik bagi penyakit jangkitan bakteria, malaria, HIV/AIDS dan tuberkulosis (batuk kering).
Malah, angka kematian dianggarkan meningkat kepada kira-kira 10 juta setahun menjelang 2050, lebih tinggi berbanding kanser dan penyakit jantung, sekiranya tiada tindakan serius diambil untuk mengekangnya oleh semua pihak.
Kawal guna antibiotik
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata pemberian preskripsi antibiotik secara berlebihan oleh doktor dan ahli farmasi kepada pesakit serta penggunaannya secara tidak wajar adalah antara punca meningkatnya kes melibatkan ‘superbug’ dari tahun ke tahun.
Beliau yang ditemui ketika hadir merasmikan Minggu Kesedaran Antibiotik Sedunia peringkat Kebangsaan baru-baru ini menegaskan, golongan profesional perubatan seperti doktor dan ahli farmasi perlu lebih berhati-hati memberikan preskripsi antibiotik kepada pesakit dan mengurangkan penggunaannya secara tidak wajar bagi membendung peningkatan kes kerintangan antibiotik.
“Ini kerana bukan semua penyakit perlu diubati dengan antibiotik, 95 peratus kes pesakit adalah kerana dijangkiti penyakit tidak berbahaya berpunca daripada virus dan boleh diubati dengan vaksin biasa, jadi golongan itu perlu lebih mengawal penggunaan antibiotik mengikut kesesuaian kes,” katanya kepada Bernama.
Beliau menambah kerajaan Malaysia dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut melancarkan Pelan Tindakan Strategik Nasional selama lima tahun untuk mengawal situasi berkaitan ‘superbug’ daripada menjadi lebih buruk.
“Pelan tindakan itu bermula Februari 2018 sehingga 2022. Antara langkah yang diambil adalah pelaksanaan program pengawasan kes ‘superbug’ dengan menggalakkan penglibatan pelbagai sektor terutamanya hospital kerajaan dan swasta untuk berkongsi idea dalam mengatasi masalah ini,” tambah beliau.
Beliau menasihatkan anggota masyarakat supaya bijak menggunakan antibiotik dan tidak mendesak doktor untuk memberikannya tanpa mengikut keperluan, selain turut mengamalkan kebersihan diri, makanan dan persekitaran secara proaktif.
“Orang ramai jangan paksa doktor untuk beri antiobiotik jika tidak diperlukan, dan sekiranya diberikan mereka perlu menghabiskannya mengikut preskripsi doktor. Mereka perlu tahu bahaya mengambil antibiotik tidak mengikut keperluan boleh membawa kepada peningkatan kerintangan antibiotik,” tegas beliau. – Bernama