Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Kritikan perlu diterima sebagai motivasi untuk meningkatkan diri sendiri dalam apa jua bidang yang diceburi dalam perjalanan menuju kejayaan bidang masing-masing, menurut Datuk Jovian Mandagie semasa Taklimat ‘Lead Your Industry’ di DARe, Anggerek Desa, hari ini.
Menurutnya lagi, pelbagai cabaran yang perlu dihadapi dalam menuju kejayaan dan jangan jadikan kritikan itu sebagai sesuatu yang melemahkan malah mengambilnya sebagai motivasi terhadap diri sendiri.
“Inilah yang saya hadapi ketika saya memulakan perjuangan perjalanan saya dalam dunia fesyen dan kini saya tidak banyak menerima kritikan lagi hanya beberapa aduan daripada para pelanggan yang tidak dapat dielakkan,” ujarnya.
Acara yang diungkayahkan bersama oleh Progresif dan DARe itu antara lain bertujuan untuk menyokong dan membantu pengusaha tempatan dan merupakan salah satu daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat Progresif dalam menyokong kumpulan sasar yang sama.

DARe dan Progresif berkongsi matlamat yang sama melalui inisiatif berkenaan untuk membantu usahawan tempatan berkembang dan mendapat pengetahuan dengan melibatkan usahawan fesyen yang berjaya seperti Datuk Jovian Mandagie.
Antara yang hadir pada taklimat tersebut ialah Pemangku Ketua Jabatan dan Pengurus Kanan Pengurusan, Penasihat Perniagaan dan Perkhidmatan DARe, Dayang Lela Suhailee; Ketua Pembangunan Produk Progresif, Radi El Fassed dan Pengurus Komunikasi Korporat, Dayang Hafiza Mohamad.
Para hadirin yang hadir terdiri daripada para pengusaha fesyen dan pengusaha tempatan yang berdaftar di DARe.