Tuesday, July 15, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perlu tingkat penggunaan ICT di sekolah luar bandar

    Oleh Kurniawati Kamarudin

     

    KUALA LUMPUR – Rasa ceria dan seronok jelas terpancar pada wajah murid Tahun 5 dan 6 Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Mabul, Semporna, Sabah ketika diberi peluang menggunakan secara dekat aplikasi yang terdapat di dalam telefon pintar.

    Kebanyakannya tidak berpeluang menggunakan peranti mudah alih yang terdapat di dalam telefon pintar kerana tidak mempunyai kemudahan itu. Ada yang meminta ditunjukkan video di Youtube, ada juga yang ingin membuat carian melalui google tentang negara luar dan topik yang menjadi minat mereka.

    Ketika murid yang tinggal di bandar sudah menjadikan telefon pintar atau “tablet” sebagai sebahagian daripada keperluan utama kehidupan, mereka di luar bandar dan pendalaman masih ramai yang baharu ingin belajar mengenal dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

    Keadaan ini sudah tentunya menjentik hati dan fikiran bahawa di sebalik ledakan teknologi maklumat yang kini boleh didapati di hujung jari, masih ada lagi sebahagian masyarakat Malaysia yang dahagakan kemudahan itu. Hakikat ini membawa kepada isu wujudnya jurang digital yang masih luas antara kawasan bandar, luar bandar serta pedalaman.

    Dekati jurang digital

    Walaupun terletak di pulau pelancongan yang cukup terkenal di Sabah, namun SK Pulau Mabul antara sekolah luar bandar yang masih jauh ketinggalan dalam penggunaan ICT. Prasarana sekolah untuk 192 murid yang belajar di sini juga masih belum mencukupi.

    Program Pembangunan Komuniti ICT dan Budaya ini adalah kerjasama antara Fakulti Ekologi Manusia dengan UCTC UPM serta SK Pulau Mabul yang cuba mendekati isu jurang digital di sekolah tersebut pada bulan Jun baru-baru ini. – Bernama

    Lima pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diketuai oleh Prof Madya Dr. Sarjit Singh Gill, mendekati lebih kurang 40 pelajar Tahun 5 dan 6 untuk mempelajari asas budaya dan kepentingannya melalui penggunaan ICT di sekolah.

    Program Pembangunan Komuniti ICT dan Budaya ini adalah kerjasama antara Fakulti Ekologi Manusia dengan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPM serta SK Pulau Mabul yang cuba mendekati isu jurang digital di sekolah tersebut pada bulan Jun baru-baru ini.

    Program setengah hari itu dijalankan di dalam bilik darjah disebabkan ketiadaan makmal komputer di sekolah. Keadaan itu juga menyebabkan sesi untuk menerangkan tentang asas dan penggunaan ICT terpaksa dibuat menggunakan telefon pintar milik pensyarah.

    Kebanyakan murid ingin tahu bagaimana untuk mencari maklumat dengan cepat melalui aplikasi yang ada. “Pelajar menunjukkan minat yang sangat tinggi. Mungkin disebabkan mereka tidak mempunyai kemudahan ICT di sekolah jadi mereka hendak mengetahui lebih tentang aplikasi yang ada dan penggunaannya,” kata Sarjit kepada Bernama mengenai program pembangunan komuniti yang diadakan itu.

    Beliau turut menyuarakan kebimbangan ketiadaan kemudahan seperti komputer dan Internet di sekolah boleh menyebabkan murid di kawasan luar bandar akan terus ketinggalan sedangkan bidang ICT sentiasa berubah.

    Tangani segera

    Sarjit yang kini mengetuai kajian mengenai ICT dan Impaknya terhadap Budaya Etnik di Sabah di bawah tajaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menegaskan bahawa budaya etnik boleh dipelajari dengan lebih mudah dengan adanya kemudahan ICT.

    Kajian tersebut kini adalah di peringkat akhir dan beliau yang sebelum ini pernah membuat kajian tentang Pengetahuan ICT dalam kalangan belia Orang Asli pada 2007, akan berkongsi dapatan kajian kelak.

    Kerajaan baharu Pakatan Harapan melalui Kementerian Pendidikan disaran melihat isu ini dengan lebih serius bagi merapatkan jurang digital di sekolah luar bandar dan bandar.

    “Murid luar bandar perlu diberikan layanan saksama dengan kemudahan yang sama rata seperti murid di bandar agar tidak berlaku diskriminasi. Ini soal dasar pendidikan yang inklusif bukan selektif. Kemudahan yang ada di sekolah bandar juga perlu ada di sekolah luar bandar dan pedalaman,” tegasnya.

    Transformasi sistem pendidikan dengan membudayakan ICT terutama sekolah luar bandar antara yang diberi penekanan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 bagi memaksimumkan penggunaan teknologi pendidikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

    Antara langkah yang diambil dalam pelan tersebut ialah menyediakan murid dengan kemahiran dan pengetahuan untuk belajar dengan berkesan dalam dunia global digital.

    Ini termasuklah memastikan keperluan asas disediakan dengan membekalkan lebih banyak peralatan ICT kepada murid dan guru seperti “tablet” atau telefon pintar. Kerajaan turut melengkapkan kesemua 10,000 sekolah seluruh negara dengan capaian Internet 4G dan menggunakan platform pembelajaran maya yang boleh digunakan guru, murid dan ibu bapa. Menurut Sarjit, Pelan Pembangunan Pendidikan yang ada cukup baik di atas kertas namun ia tidak akan memberi apa-apa makna sekiranya tidak bersandarkan kepada realiti sosial yang berlaku dalam masyarakat khususnya di sekolah luar bandar dan pedalaman.

    “Ini tidak seharusnya berlaku jika kita mahu transformasi pendidikan dilakukan secara serius ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju dalam aspek pendidikan,” katanya.

    Isu lama yang sama

    Sementara itu, Guru Besar SK Pulau Mabul, Hassan Mat ketika dihubungi melalui telefon berkata kemudahan yang ada di sekolahnya amat terhad. Bukan sahaja tidak mempunyai makmal komputer, malah makmal Sains yang dirancang untuk sekolah berkenaan juga belum ada meskipun sekolah itu dibuka sejak 1986.

    Beliau memberitahu Bernama, meskipun kerajaan berusaha mengurangkan jurang digital di sekolah luar bandar namun ia tidak dapat berfungsi sepenuhnya kerana pencapaian internet yang lemah. “Cikgu yang ingin mengajar dan memberi pendedahan kepada pelajar terpaksa menggunakan data internet sendiri. Ini antara sebab pemahaman ICT murid di sini agak terbatas dan kurang mahir menggunakan komputer, ” katanya.

    Dengan pendapatan sekitar RM600 hingga RM1,200 sebulan, kebanyakan ibu bapa pelajar sememangnya tidak mampu menyediakan komputer untuk anak-anak

    mereka. Kalau hendak diikutkan isu ketiadaan kemudahan untuk meningkatkan kemahiran ICT ini turut dihadapi banyak sekolah luar bandar khasnya di daerah Semporna, Sabah terutama sekolah yang berada di dalam kawasan pulau.

    Antaranya Sekolah Kebangsaan Pulau Sumandi yang terletak kira-kira 22 kilometer dari Semporna dengan menaiki bot. Pengetuanya, Mohamad Ispal memberitahu Bernama melalui telefon, berkata makmal komputer di sekolahnya tidak dapat digunakan kerana tidak mendapat kelulusan Sijil Layak Menduduki (CF) manakala internet yang ada disediakan sudah dua tahun tidak berfungsi sebab tidak diselenggarakan.

    “Buat masa ini tidak ada kemudahan komputer untuk pelajar di sekolah. Guru-guru terpaksa mengguna komputer riba sendiri untuk mengajar di samping mengakses Internet menggunakan data sendiri. Sudah tentu ini membebankan para cikgu.

    “Kebanyakan pelajar menunjukkan minat yang sangat tinggi untuk mengetahui tentang ICT tetapi masalah prasarana menjadi halangan, ” katanya sambil menambah SK Pulau Sumandi mempunyai 247 pelajar dari enam buah kampung.

    Isu kritikal dan kompleks

    ??????? Keadaan yang sama turut dihadapi Sekolah Kebangsaan Kalumpang, terletak kira-kira 57 kilometer dari Semporna melalui jalan darat. Menurut Guru Besar, Kamul Kamarudin, makmal komputer di sekolah itu bertukar menjadi bilik gerakan setelah tidak mendapat kelulusan Jabatan Kerja Raya kerana tidak menepati skop dan kurang selamat untuk diduduki.

    Sebanyak 40 buah komputer yang disediakan untuk diletakkan di dalam makmal tersebut hanya tersimpan di dalam stor dan guru terpaksa menggunakan komputer riba sendiri untuk mendedahkan pelajar tentang ICT.

    Pada 2017, pihak JKR Putrajaya pernah memantau bagi tujuan baik pulih makmal komputer tetapi sampai sekarang tidak ada tindakan. “Makmal komputer disediakan tetapi semua komputer tidak dapat berfungsi dengan baik kerana tiada bekalan elektrik dan makmal komputer tidak ada CF disebabkan tidak mendapat piawaian Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Katanya isu bekalan elektrik menjadi halangan utama untuk memanfaatkan penggunaan ICT di kebanyakan sekolah luar bandar di Sabah. Jelasnya, kebanyakan sekolah luar bandar dbekalkan dengan tenaga solar namun kerana tiada penyelengaraan maka ia tidak dapat digunakan.

    Hanya pada bulan lepas baharu ada syarikat dilantik untuk tujuan penyelenggaraan, katanya. “Pencapaian internet di luar bandar juga satu masalah yang sangat kritikal termasuk di sekolah ini. Untuk pengajaran dan pembelajaran cikgu banyak menggunakan komputer riba sendiri dan data internet sendiri,” katanya.

    Beliau mengakui wujud jurang digital antara bandar dan luar bandar serta antara Semenanjung dengan Sabah terutama kawasan Semporna. “Kalau dibuat pemeriksaan keselamatan di sekolah, memang sekolah ini tidak selamat kerana kedaifan bangunannya. Selain bocor, tiang dimakan anai-anai dan tiada bekalan air bersih disediakan. Kami cuma bergantung kepada air hujan,” katanya yang berharap menteri pendidikan baharu memberi tumpuan pada isu sekolah luar bandar seperti di Sabah.

    SK Kalumpang, katanya adalah antara tiga sekolah terbaik daripada 36 buah sekolah di Semporna berdasarkan keputusan tahunan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan jumlah165 pelajar termasuk prasekolah. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda