Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perluas pemahaman perubatan Islam berasaskan syariah

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Majlis Ceramah dan Bengkel Amalan Pengubatan Islam telah berlangsung pagi tadi di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, sebagai hasil usaha sama antara Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Jabatan Mufti Kerajaan (JMK).

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Majlis dimulakan pada sebelah pagi dengan sesi ceramah pengenalan kepada kaedah amalan pengubatan Islam, yang kemudian disusuli dengan bengkel praktikal pada sebelah petang.

    Sesi ceramah pagi disampaikan oleh Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia dan Pengasas Pusat Rawatan Islam Manarah (PRIM), Dr Haji Jahid bin Haji Sidek. Beliau mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang rawatan Islam di seluruh Malaysia dan merupakan rujukan utama perubatan Islam bagi Majlis Agama Islam Selangor.

    Turut menyertai sebagai perawat pakar jemputan dari PRIM ialah Pensyarah Universiti Malaysia Penang Al-Sultan Abdullah dan Perawat Pakar PRIM Pahang, Prof Madya Dr Mahyuddin bin Ismail; Ketua Biro Perubatan PRIM, Abdul Halim bin Ramli; dan Perawat Pakar PRIM, Mohd Johari bin Mohd Mohyin.

    Ceramah dan bengkel tersebut merupakan peringkat pertama bagi kursus amalan pengubatan Islam yang dirancang, bertujuan memperluas kefahaman dan aplikasi rawatan berasaskan syariah dalam kalangan petugas kesihatan dan agama.

    Peserta bengkel terdiri daripada pegawai kanan Kementerian Kesihatan, KHEU dan JMK, termasuk pegawai-pegawai Perkhidmatan Ugama Hospital-hospital Kementerian Kesihatan.

    Turut hadir ialah Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff; serta pegawai dan kakitangan dari ketiga-tiga agensi berkenaan.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bergambar ramai bersama penceramah dan pakar jemputan dari Malaysia. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN
    Dr Haji Jahid menyampaikan ceramah semasa acara tersebut, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda