Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perlukah berdiam diri terhadap gangguan seksual?

    Oleh Yusri Junaidi

    Gangguan seksual merupakan salah satu perlakuan tidak bermoral yang berunsur seksual dan dilakukan oleh seseorang terhadap individu yang lain.

    Perbuatan tersebut tidak dapat diterima, tidak diingini dan tidak sesuai sehingga menyebabkan penerima berasa tersinggung dan terhina.

    Gangguan seksual boleh berlaku di mana saja, sama ada di tempat kerja, sekolah, di tempat awam dan lain-lain. Sasarannya bukan hanya kaum wanita, malah ia juga terhadap kaum lelaki.

    Peserta Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-Pegawai Pertengahan (EDPMMO) yang telah diadakan baru-baru ini melaksanakan beberapa inisiatif bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap gangguan seksual.

    Kaji selidik oleh para peserta adalah bertujuan untuk memberikan kefahaman kepada orang ramai mengenai perkara ini dan langkah-langkah yang perlu dipraktikkan demi mencegah perkara ini daripada berlarutan.

    Gangguan seksual dapat memberikan impak negatif kepada mangsa seperti merasa tidak selesa, gelisah, kurang keyakinan diri, sedih dan merasa tidak selamat. – Gambar hiasan

    Terdapat beberapa jenis gangguan seksual iaitu:

    Gangguan seksual secara fizikal

    Ganguan seksual secara fizikal merupakan perbuatan yang dilakukan secara fizikal seperti menyentuh, menepuk, mencubit, memegang, memeluk, meraba bahkan termasuk juga perbuatan mendekati orang lain dalam jarak yang terlalu dekat sehingga orang tersebut berasa kurang selesa.

    Gangguan seksual secara lisan

    Gangguan ini merupakan perkara mengenai penggunaan bahasa yang kurang sopan seperti berbaur seksual sama ada dalam perbualan, gurau senda atau dalam memberi komen, pujian atau kritikan ke atas penampilan, pakaian, tingkah laku ataupun membuat bunyi-bunyian yang bersifat lucah.

    Ini termasuklah kata-kata ugutan atau desakan yang memaksa mangsa untuk melakukan sesuatu tanpa rela.

    Gangguan seksual secara isyarat

    Gangguan ini lebih kepada perbuatan berbentuk isyarat yang berunsurkan seksual seperti melalui jelingan, renungan, pandangan, termasuklah membuat isyarat tangan atau menggunakan bahasa isyarat yang menunjukkan perlakuan seks.

    Gangguan seksual secara visual

    Gangguan visual ini merujuk kepada perbuatan menunjukkan sesuatu tulisan, gambar, lukisan, poster, objek, video atau bahan bacaan yang berunsur seksual termasuklah pengiriman melalui sosial media dan media elektronik.

    Gangguan seksual secara psikologi

    Perbuatan mendesak atau merayu secara berulang kali memberikan impak yang boleh mendatangkan kesan negatif kepada mangsa seperti menerbitkan perasaan tidak selesa, gelisah, kurang keyakinan diri, sedih, dan merasa tidak selamat.

    Malah jika gangguan tersebut dialaminya secara berterusan, bukan sahaja boleh mengakibatkan mangsa menghadapi trauma bahkan dapat menjejaskan kestabilan emosi mangsa sehingga mengalami kemurungan dan tidak mustahil boleh mencetuskan rangsangan untuk membunuh diri. Kerana itu para mangsa perlu dibantu dan mendapat sokongan bukan sahaja daripada keluarga, rakan bahkan juga dari pelbagai agensi baik kerajaan mahupun badan-badan persatuan.

    Apa yang dapat dilakukan?

    Apabila mendapati bahawa terdapat gangguan berbentuk seksual berlaku, adalah penting untuk bertindak dengan cepat agar gangguan tersebut dapat dihentikan.

    Ini adalah tanggungjawab semua pihak, bukan sahaja kepada mangsa bahkan juga kepada mereka yang mengetahui bahawa berlakunya perbuatan gangguan seksual tersebut seperti melaporkan kepada pihak polis.

    Selain itu juga, pelaku boleh menghubungi talian kebajikan 141 dan talian Anak 121 (bagi kanak–kanak) yang berperanan menyediakan bantuan dari segi program dan perkhidmatan yang diperlukan.

    Di tempat kerja, pekerja sering menjadi mangsa kepada gangguan seksual sama ada yang dilakukan oleh ketua atau rakan kerja.

    Justeru jika perkara ini berlaku, mangsa hendaklah melaporkannya kepada pegawai atasan atau ketua jabatan.

    Memang tidak dinafikan terdapat mangsa enggan melaporkan gangguan seksual yang dialaminya kerana malu, bimbang mendapat sindiran ataupun dipersalahkan, takut diberhentikan kerja, khuatir terhadap keselamatan dirinya dan sebagainya.

    Menangani isu gangguan seksual di tempat kerja adalah sangat penting bagi memberikan persekitaran kerja yang selamat dan kondusif.

    Oleh itu terdapat beberapa langkah yang perlu dilaksanakan dan dipertingkatkan oleh ketua jabatan atau majikan, antaranya ialah mewujudkan dasar bagi menangani masalah gangguan seksual, menjalankan siasatan secara adil dan sebagainya.

    Bahkan penting juga untuk memberi panduan dan kefahaman kalangan pekerja akan batas-batas dalam pergaulan agar masalah gangguan seksual tidak berlaku.

    Dalam masa yang sama, kempen-kempen kesedaran terhadap gangguan seksual perlu diberigakan secara meluas kepada para pekerja supaya mereka mengetahui hak-hak mereka dan apakah tindakan undang-undang yang boleh diambil agar gangguan seksual yang dialami dapat diatasi dan dihentikan.

    Tindakan undang-undang

    Terdapat undang-undang yang berkaitan dengan gangguan seksual di negara ini, di mana pelakunya boleh diambil tindakan undang-undang, antaranya, Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 Bab 354 (A), di bawah kesalahan mencabul kehormatan dengan teruk dengan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada tujuh tahun dan sebat.

    Bab 354 (B), di bawah kesalahan mencabul kehormatan oleh orang yang dapat dipercayai atau berkuasa dengan hukuman penjara tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan sebat.

    Bab 377 (H), di bawah kesalahan gila mengintai dengan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

    Bab 377 (I), di bawah kesalahan mencetak, menyalin, menyiarkan, menyebarkan, mengedarkan, menjual, dan sebagainya, rakaman mengintai dengan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

    Bab 509, di bawah kesalahan melibatkan perkataan, gerak isyarat atau perbuatan dimaksudkan hendak mengaibkan kehormatan perempuan dengan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun dan denda.

    Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013, Bab 197, di bawah kesalahan perbuatan tidak sopan di tempat awam iaitu perbuatan yang boleh menjejaskan imej agama Islam, merosakkan akhlak, mendatangkan pengaruh buruk atau kemarahan kepada orang yang mungkin menyaksikan perbuatan tersebut, dengan hukuman denda tidak melebihi $2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

    Peraturan–peraturan Am: Peraturan –Peraturan Pegawai–pegawai Kerajaan (Kelakuan dan Tatatertib), 1961, Peraturan 29 mengenai kewajipan pegawai kanan untuk melapor kepada penguasa tatatertib jika terdapat mana-mana pegawai yang melakukan sesuatu yang membawa jatuhnya maruah perkhidmatan awam.

    Undang-undang yang komprehensif sangat diperlukan bagi menyelesaikan kes-kes gangguan seksual yang semakin meluas hari ini agar mampu memberikan perlindungan yang lebih terjamin kepada semua pihak.

    Mekanisme pencegahan juga perlu dirangka dan dilaksanakan lebih aktif bagi mengurangkan kes gangguan seksual khususnya di tempat kerja.

    Dari segi perspektif Islam, agama sangat mementingkan menjaga hubu ngan baik sesama manusia sama ada dalam keluarga, sahabat, jiran tetangga, rakan sekerja mahupun kepada orang ramai.

    Islam telah memberikan panduan dalam memelihara hubungan baik iaitu menjaga adab dalam percakapan, pandangan dan tingkah laku dalam pergaulan bagi menjaga keharmonian dan kesejahteraan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

    Oleh itu, Islam menuntut umatnya untuk memiliki akhlak dan sifat yang mulia seperti berkata yang baik dan sopan, hormat menghormati, bantu membantu, bersangka baik, tidak berlebihan dalam gurau senda, bersifat sabar dan sebagainya.

    Perbuatan mengganggu perasaan orang lain melalui kata-kata atau perbuatan yang tidak baik dilarang dalam agama Islam, apatah lagi jika kata-kata yang tidak senonoh atau perbuatan yang melampaui batas sehingga menjatuhkan maruah orang lain.

    Islam juga menegaskan bahawa setiap umat Islam itu adalah bersaudara, maka adalah tidak wajar seseorang itu menyakiti hati saudaranya.

    Sebagai umat Islam bersaudara, sudah tentu akan menjaga perhubungan yang baik bagi mengecapi kehidupan yang harmoni dan aman.

    Maka orang yang demikian akan mendapat ganjaran yang besar dari Allah pada hari kiamat kelak.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda