WASHINGTON, 19 DIS – Jutawan Elon Musk melancarkan tinjauan pendapat di Twitter bertanyakan pandangan pengguna berhubung peletakan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) platform media sosial itu, lapor Sputnik.
“Perlukah saya berundur sebagai ketua Twitter? Saya akan mematuhi keputusan tinjauan pendapat ini,” menurut ciapan Musk semalam.
Setakat 00:00 GMT pada hari ini, lebih 2.5 juta pengguna Twitter mengambil bahagian dalam tinjauan itu, dengan lebih 57 peratus menyokong peletakan jawatan Musk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Twitter.
Mengulas mengenai keputusan awal berkenaan, Musk berkata dalam ciapannya yang lain, “Seperti kata pepatah, berhati-hati dengan apa yang awda hajatkan, kerana awda mungkin memperolehnya.”
Pada akhir Oktober, Elon Musk memuktamadkan pemerolehan Twitter bernilai AS$44 bilion.
Musk merombak operasi harian syarikat, termasuk menamatkan perkhidmatan separuh pekerjanya dan eksekutif Twitter yang bertanggungjawab ke atas privasi, keselamatan siber dan penapisan platform berkenaan.
Sebelum menyiarkan tinjauan pendapat semalam mengenai potensinya meletak jawatan sebagai Ketua Twitter, Musk memaklumkan mulai sekarang, ‘undian akan dilakukan bagi menentukan perubahan dasar utama’ di platform media sosial itu. – Bernama


