Betul ke dengan menunggu lampu-lampu pada paparan instrumen untuk padam terlebih dahulu, sebelum penghawa dingin boleh dihidupkan dan barulah kereta boleh bergerak dapat memanjangkan jangka hayat enjin tersebut serta mengelakkan daripada kerosakan berlaku? Ikuti artikel dari laman blog Paultan untuk mengetahui kebenaran dakwaan tersebut.
Bagi yang belum mengetahui, lampu-lampu pada papan pemuka kereta berkenaan sebenarnya adalah petunjuk bahawa suhu operasi enjin masih belum mencapai tahap optimum.
Lampu itu hanya diberikan pada kereta-kereta yang tidak mempunyai tolok atau meter suhu penyejuk enjin (engine coolant tempreature gauge) pada paparan instrumen mereka, di mana paparan lampu sama ada biru, merah atau kuning menandakan ia belum sampai suhu operasi, tiada lampu menyala menandakan suhu sudah pada tahap optimum dan lampu merah menyalakan menandakan enjin sudah pun mencapai suhu panas melampau (overheat).
Jadi amalan menunggu sehingga ‘lampu padam’ itu sebenarnya adalah sama dengan amalan memanaskan enjin pada kereta lama, khususnya yang menggunakan sistem karburetor yang telah hampir pupus pada era 90an.
Untuk sistem karburetor tersebut, dalam keadaan yang terlalu sejuk, ia tidak akan memberikan campuran udara-bahan api yang tepat pada enjin, seterusnya tidak akan memberikan prestasi yang optimum ketika memandu.
Pada era 80an dan ke bawah, sistem karburetor mempunyai satu injap khas yang dipanggil injap choke yang perlu ditarik secara manual oleh pemandu menerusi tuil yang terletak pada papan pemuka.
Injap berkenaan akan memberikan nisbah campuran bahan api lebih rich, seterusnya menaikkan kelajuan pepura (idling speed) enjin dan mempercepatkan suhu optimum dicapai.
Manakala pada era 90an, kebanyakan kenderaan yang menggunakan karburetor sudah pun dibekalkan dengan sistem auto-choke, di mana injap choke berkenaan akan berfungsi secara automatik berdasarkan suhu cecair penyejuk enjin (coolant).
Bagi sistem suntikan bahan api yang digunakan oleh kereta-kereta moden, ia adalah lebih canggih di mana nisbah campuran bahan api akan sentiasa berubah berdasarkan suhu sekeliling dan ia boleh memberikan nisbah yang paling optimum dalam apa jua keadaan sekalipun.
Jadi untuk kereta moden yang menggunakan sistem tersebut, awda sebenarnya tidak lagi perlu memanaskan enjin sehingga lampu tersebut padam terlebih dahulu sebelum boleh mula bergerak.
Jadi bagaimana pula dengan komponen-komponen logam dalam enjin? Bukankah ia tidak cukup ‘mengembang’ sekiranya beroperasi pada suhu yang belum mencapai tahap optima dan mungkin akan ‘terkejut’ sekiranya ia terus dipaksa bergerak dalam keadaan sejuk?
Jurutera-jurutera juga sebenarnya tidak terlepas pandang dalam aspek tersebut. Justeru, material yang digunakan enjin-enjin moden juga sebenarnya telah direka bagi membolehkan enjin beroperasi pada keadaan tersebut dan tidak akan mendatangkan masalah sekiranya kereta terus bergerak selepas enjin dihidupkan tanpa dipanaskan terlebih dahulu.
Namun itu bukan bermakna sebaik sahaja enjin dihidupkan, awda boleh terus bergerak dengan ‘melasing’ enjin berkenaan semahunya.
Adalah dinasihatkan kereta dipandu dengan cermat sebelum lampu tersebut padam.
Itu akan memberikan masa untuk minyak pelincir sampai ke setiap komponen yang perlu dilindungi, serta membolehkan tekanan hidraulik pada sistem transmisi automatik turut mencapai tahap optimum untuk beroperasi.
Proses bergerak secara cermat sebelum lampu itu padam juga sebenarnya akan lebih mempercepatkan enjin panas berbanding enjin dihidupkan tanpa bergerak.
Dah faham? Jadi selepas ini tak perlulah awda berpeluh-peluh menahan panas dalam kereta semata-mata mahu mempercepatkan proses memanaskan enjin dengan tidak menghidupkan penghawa dingin dan membuang masa menunggu lampu papan pemuka padam sebelum bergerak.
Kita dah berada dalam tahun 2024, jadi hidupkan enjin, hidupkan penghawa dingin dan terus bergerak dengan perlahan terlebih dahulu dan pandulah seperti biasa apabila lampu tersebut padam. – Agensi