Wednesday, October 16, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perlukan makanan? Selamatkan lebah

    CONCORD, NEW HAMPSHIRE – Ketika hakim, peguam dan kakitangan bantuan di mahkamah persekutuan di Concord, New Hampshire, sedang sibuk menguruskan sistem keadilan Amerika, beribu-ribu ekor lebah madu di atas bumbung bangunan itu memainkan peranannya dalam tugasan lebih penting iaitu memberi makan kepada dunia.

    Mahkamah Warren B. Rudman adalah salah sebuah daripada beberapa kemudahan persekutuan di seluruh negara yang menyertai Inisiatif Pendebunga Pentadbiran Perkhidmatan Am, sebuah program kerajaan yang bertujuan untuk menilai dan mempromosikan kesihatan lebah dan pendebunga lain, yang penting kepada kehidupan di Bumi.

    “Sesiapa yang memakan makanan memerlukan lebah,” kata Noah Wilson-Rich, pengasas bersama, ketua pegawai eksekutif dan ketua pegawai saintifik syarikat Best Bees yang berpangkalan di Boston, yang membuat perjanjian dengan kerajaan untuk menjaga sarang lebah di mahkamah New Hampshire dan beberapa buah bangunan persekutuan yang lain.

    Lebah membantu pendebungaan buah-buahan dan sayur-sayuran untuk manusia, katanya.

    Ia mendebungakan jerami dan alfalfa, yang memberi makanan kepada lembu dan dagingnya menjadi sumber makanan kepada manusia.

    Gambar AP
    Pemelihara lebah dari Best Bee memeriksa dua sarang lebah di bumbung bangunan Mahkamah Warren Rudman. – Gambar AP
    Inisiatif Pendebunga Pentadbiran Perkhidmatan Am melihat untuk mengenal pasti cara untuk mengekalkan populasi lebah yang sihat dan bertenaga. – Gambar AP
    Gambar fail 5 Mei menunjukkan Mahkamah Warren Rudman AS. – Gambar AP
    Gambar AP
    Gambar AP

    Ia juga menggalakkan kesihatan tumbuhan melalui fotosintesis, memberikan udara bersih untuk kita bernafas.

    Tetapi serangga yang menyumbang kira-kira AS$25 bilion kepada ekonomi Amerika Syarikat setiap tahun itu diancam penyakit, kimia pertanian dan kehilangan habitat yang memusnahkan kira-kira separuh daripada sarang lebah setiap tahun.

    Tanpa campur tangan manusia, termasuk pemelihara lebah membuat sarang baharu, dunia akan mengalami kepupusan lebah yang akan menyebabkan kebuluran dan kejatuhan ekonomi, kata Wilson-Rich.

    Program pendebungaan adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan persekutuan untuk mempromosikan kemampanan, yang termasuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menggalakkan infrastruktur berdaya tahan iklim, kata David Johnson, pengurus program kelestarian Pentadbiran Perkhidmatan Am untuk New England.

    Program pentadbiran itu bermula pada tahun lalu dengan sarang lebah di 11 buah kawasan.

    Sebahagian daripada tapak tersebut tidak lagi berada di dalam program. Sarang lebah ditempatkan di bangunan Akrib Kebangsaan di Waltham, Massachusetts, tidak mampu bertahan semasa musim sejuk tahun lalu.

    Sejak itu, beberapa buah kawasan lain telah ditambah, setiap satu daripadanya menjadi rumah kepada ribuan ekor lebah, ditempatkan di atas bumbungan bangunan Rudman pada Mac.

    Program itu mengumpulkan data untuk mengetahui sama ada lebah madu, yang boleh terbang lima hingga lapan kilometer dari bumbung untuk mencari debunga, mampu membantu kesihatan bukan setakat tumbuhan di atas bumbung, malahan flora di seluruh kawasan, kata Johnson.

    “Lebah madu sebenarnya sangat oportunis,” katanya. “Ia akan memakan banyak jenis tumbuhan.”

    Program itu boleh membantu mengenal pasti tumbuhan dan manfaat landskap untuk pendebungaan dan menolong kerajaan untuk membuat keputusan yang lebih termaklum mengenai jenis pokok dan bunga apa untuk di tanam di atas bangunan.

    Best Bees menguji DNA tumbuhan dalam madu untuk mendapatkan maklumat tentang kepelbagaian dan kesihatan tumbuhan di kawasan itu, kata Wilson-Rich, dan mereka mendapati bahawa lebah yang mencari makanan dengan diet yang pelbagai mempunyai tahap kelangsungan hidup dan produktiviti yang lebih baik.

    Kemudahan persekutuan lain yang mempunyai sarang lebah termasuk ibu pejabat Pusat untuk Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan dan Bantuan Kesihatan di Baltimore; mahkamah persekutuan di Hammond, Indiana; Pusat Rekod Arkib Persekutuan di Chicago; dan Pusat Persekutuan Denver.

    Kerajaan persekutuan tidak bersendirian dalam usaha untuk menyelamatkan lebah.

    Sarang lebah ditempatkan di kawasan-kawasan milik kerajaan persekutuan adalah sebahagian daripada rangkaian yang lebih luas iaitu kira-kira 1,000 sarang lebah di taman-taman, perniagaan dan institusi di seluruh negara dan usaha itu mampu membantu menentukan apa yang boleh menolong lebah, apa yang menyakitinya dan mengapa.

    Inisiatif tersebut juga melihat untuk mengenal pasti cara mengekalkan populasi lebah yang sihat dan bertenaga serta memodelkan pelajaran tersebut di kawasan lain – di sektor kerajaan dan swasta – kata Amber Levofsky, penasihat program kanan untuk Pusat Pembangunan Bandar.

    “Matlamat bagi inisiatif bertujuan untuk mengumpul data berasaskan lokasi di kemudahan untuk membantu mengemas kini arahan dan dasar untuk membantu pengurus kemudahan untuk menyasar perlindungan pendebunga dan pengurusan habitat di serantau,” katanya.

    Terdapat satu lagi kebaikan program lebah madu kerajaan yang kini sudah membuahkan hasil: lebihan madu yang dihasilkan akan didermakan ke kawasan bank makanan.- AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda