BERBEZA dengan berlumba di litar profesional, aksi perlumbaan kereta di kawasan tanah lapang dan jalan turap cukup mendebarkan serta memberikan keseronokan yang berbeza.
Pengalaman perlumbaan rali kini dapat dirasai sepenuhnya dalam permainan baru, Dirt 4 (D4) yang merupakan siri keenam dalam francais Dirt.
Demi memberikan pengalaman realistik kepada para pemain, pihak Pembinanya, Codemasters telah mendapatkan khidmat nasihat dari dua pelumba rali terkenal iaitu Kris Meeke dan Peter Solberg semasa membina D4.
Memandu mengikut kemahuan
Lebih 50 buah kereta lumba rali off road telah ditawarkan termasuk Ford Fiesta R5, Mitsubishi Lancer Evolution VI, Subaru WRX-STI NR4 dan Audi Sport Quattro S1-E2.
Terdapat lebih lima lokasi rali dari Australia, Sepanyol< Sweden, Wales dan negeri Michigan yang menawarkan pemandangan hebat yang pasti membuatkan para pemain berasa kagum dengan keindahannya.
Anda boleh mempelajari dan terus berlatih pelbagai teknik memandu di Akademi DIRT sebelum terus masuk pertandingan dalam permainan video itu.
Cipta pemandu baru dalam Career Mode dan sertai pasukan untuk bertanding demi mendapatkan penaja serta menaikkan nama karakter dan pasukan yang anda perjuangkan.
D4 mempunyai lesen FIA World Rallycross Championship yang menjadikan para pemain boleh bertanding di litar rallycross terkenal iaitu Lydden Hill Circuit (Great Britain), Hoijesbanan (Sweden), Lankebanen (Norway), Circuit de Loheac (Perancis), Circuit de Barcelona-Catulunya (Sepanyol) dan Pista Automove! De Montalegre (Portugal).



Sistem yang baru diperkenalkan iaitu ‘Your Stage’ di mana anda hanya perlu menetapkan lokasi, masa, cuaca, panjang serta kompleksiti litar dan sistem ini akan menjana litar lumba itu untuk para pemain.
Pilih Land Rush Mode untuk berlumba dengan menggunakan Pro Buggies, Pro-2 Trucks, Pro-4 Trucks dan Crosskart di lokasi-lokasi dari California, Nevada dan Mexico.
Sementara Joyride pula menawarkan beberapa cabaran lain termasuk Time Attack dan Smash Attack.Para pemain juga boleh memandu sambil bersiar-siar di kawasan lapang.
Rekrut mekanik yang telah mengalami kerosakan akibat kesan daripada pelanggaran semasa perlumbaan.
Semak Community Events untuk mengetahui tentang perlumbaan dengan para pemain lain dari seluruh dunia sama ada secara harian, bulanan atau tahunan.
Pemain juga boleh bertanding dalam Live Ranked Multiplayer melalui mod Pro Tour.
Justeru, sekiranya anda teruja untuk melakukan aksi perlumbaan lasak jangan terlepas untuk mengalaminya sendiri dalam Dirt 4 yang dikeluarkan untuk pelantar PS4, XBOX One dan PC.