Tuesday, March 25, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perlumbaan Mountain Bike promosi hidup sihat

    KUALA BELAIT, 12 Ogos – Bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72 bagi Daerah Belait, Jabatan Daerah Belait, Jabatan Perhutanan Belait dan Kelab Basikal Belait telah bersama-sama menganjurkan Perlumbaan Mountain Bike, hari ini.

    Perlumbaan yang bermula di kawasan Jabatan Perhutanan Sungai Liang, di sini itu dibahagikan kepada enam kategori iaitu Elit, Terbuka Lelaki berusia 16 hingga 39 tahun, Master berusia 40 hingga 49 tahun, Veteran berusia 50 tahun ke atas dan Kategori Heavy Weight seberat 90 kilogram ke atas.

    Setiap kategori menawarkan hadiah wang tunai iaitu $250 untuk pemenang tempat pertama, $200 tempat kedua dan $150 tempat ketiga bagi Kategori Elit, manakala itu, Kategori Master memberikan wang tunai $200 untuk pemenang pertama, $150 tempat kedua dan $100 tempat ketiga.

    Perlumbaan Mountain Bike bermula dari kawasan Jabatan Perhutanan Sungai Liang.
    Peserta perlumbaan bersungguh-sungguh untuk sampai ke garisan penamat dengan kemenangan.

    Bagi Kategori Terbuka, Veteran dan Wanita pula, pemenang pertama membawa pulang wang tunai $150, kedua $80 dan ketiga $50.

    Perlumbaan tersebut turut bertujuan untuk menggalakkan masyarakat dan orang ramai mengamalkan cara hidup yang sihat umpamanya melibatkan diri dengan kegiatan sukan secara berterusan, selain untuk mempromosikan cara hidup sihat melalui sukan berbasikal dan aktiviti ini menjadi salah satu senaman alternatif selain daripada berjoging, senamrobik dan sebagainya.

    Di samping itu, ia juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat di daerah ini dengan agensi-agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda