ULASAN OLEH RUZAINI HJ DAUD
SETELAH melihat keserasian gandingan lakonan yang ditampilkan melalui siri drama Dia Semanis Honey, kini Siti Nordiana dan Alif Satar kembali menjadi teraju utama dalam siri drama terbaru berjudul Klik! Pengantin Musim Salju.
Drama tersebut merupakan sebuah karya adaptasi dari novel hasil tulisan Suri Ryana, diarahkan oleh Hadith Omar di bawah terbitan Filmscape Sdn. Bhd.
Selain itu, drama tersebut turut menampilkan aksi lakonan Adam Lee, Atikah Suhaime, Norlia Ghani, Nina Juren, Cik Manggis, Dafi, Ardell Aryana, Lan Solo, Aleza Shadan, Jasmine Ashraff, Farouk Hussain, Mak Wan dan Zamarul Hisham.
Pada dasarnya, ia mengisahkan mengenai Adam Putra lakonan Alif Satar yang mengajak Kasih Lateefa atau Kay yang tidak memiliki sifat feminine untuk berlakon sebagai pengantin olok-olok di hadapan neneknya setelah tunangnya, Karlisha Zandra lakonan Atikah Suhaime membatalkan perkahwinan mereka pada saat akhir.
Kay yang tidak mahu disatukan dengan Irham lakonan Lan Solo, mamat sewel yang menyakitkan hatinya itu bersetuju berlakon sebagai pengantin olok-olok kepada Adam Putra dan mengikut lelaki itu ke Jepun untuk bertemu dengan nenek Adam Putra.

Musim dingin dan salju tebal di Jepun menjadi saksi cinta mereka bersemi. Dalam mengharungi hari-hari sebagai pasangan pengantin olok-olok, mereka terjebak dalam gelora cinta yang hangat membara hingga akhirnya mereka betul-betul jadi pengantin.
Asyiknya mereka menyulam cinta setelah berkahwin di bumi Jepun sehinggakan mereka tidak menyangka ada badai yang sedang menanti setelah mereka pulang ke Malaysia.
Cinta mereka diuji dengan kehadiran Hud Mikael lakonan Adam Lee, sepupu Adam Putra yang pernah sukakan Kay dan juga bekas tunang Adam Putra iaitu Karlisha Zandra.
Berjayakah pengantin musim salju ini mempertahankan cinta suci mereka dan untuk mengetahuinya maka jangan terlepas untuk menonton siri drama Klik! Pengantin Musim Salju yang ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis jam 7 malam di Astro Ria (104), Astro Ria HD (123) dan Astro Ramadan HD (122).