ULASAN BUKU OLEH RAZ AS
NOVEL The Glass Town Game adalah sebuah novel pengembaraan yang mengisahkan tentang Charlotte dan Emily yang terpaksa memasuki dunia fantasi yang mereka cipta sendiri untuk menyelamatkan adik-beradik mereka.
Di sebuah rumah pendeta di Yorkshire, Charlotte, Branwell, Emily dan Anne Bronte telah menciptakan sebuah permainan yang dipanggil sebagai Glass Town, di mana tentera-tentera permainan mereka menentang Napoleon dan tiada seorang pun yang akan terkorban.
Dunia fantasi ini adalah satu-satunya cara kepada keempat-empat mereka melarikan diri dari kekejaman dunia realiti.
Charlotte dan Emily telah dihantar ke sebuah sekolah berasrama yang berbahaya, sekolah yang mereka mungkin sahaja tidak akan pulang selamanya.
Akan tetapi, pada hari Anne dan Brawell menghantarkan kakak-kakak mereka ke stesen kereta api, sesuatu yang ajaib telah terjadi.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/3-11p2-rubie_031117.jpg)
Kereta api tersebut telah membawa mereka semua ke dunia Glass Town yang sebenar.
Dunia itu adalah sangat serupa dengan apa yang mereka bayangkan. Kecuali, mereka tidak pernah memberikan Napolean makhluk tunggangan yang berupaya mengeluarkan api, tentera-tentera mereka pula boleh terbunuh dan peperangan terjadi kerana merebut ubat yang dapat menghidupkan semula orang yang telah mati, ubat yang Anne mahu bawa pulang ke England.
Akan tetapi apabila Anne dan Branwell diculik, Charlotte dan Emily harus mencari jalan untuk menyelamatkan adik-beradik mereka.
Bolehkah dua orang gadis Inggeris itu mengalahkan tentera-tentera Napoleon? Jika Napoleon terlepas ke dunia luar bagaimanakah pula dengan nasib England? Bersama-sama mereka harus berhadapan dengan dunia rekaan mereka sendiri.
Untuk mengetahui segala jawapan kepada persoalan dan kesudahan kisah ini, jangan lupa untuk mendapatkan novel The Glass Town Game karya Catherynne M Valente.