Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 28 MAC – Sebagai matlamat untuk mengembalikan nostalgia permainan tradisi zaman dahulu, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Birau/Luagan Timbaran di bawah kelolaan Biro Sukan dan Belia MPK berkenaan telah mengadakan Permainan Bola Kampung bertempat di padang Sekolah Rendah Birau, Daerah Tutong, baru-baru ini.
Permainan yang disertai oleh lebih 20 orang dan dibahagikan kepada tiga kumpulan itu bertujuan untuk mendidik dan memperkasa amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat khususnya penduduk kampung agar bersama-sama melakukan aktiviti-aktiviti positif dengan menjauhi dari pelbagai kegiatan yang tidak bermoral.
Menurut pengerusi biro sukan dan belia MPK berkenaan, Dr Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha, permainan sedemikian dihasratkan untuk mengembalikan budaya lama penduduk kampung berkenaan. Acara telah disertai oleh penduduk kampung daripada golongan kanak-kanak sehinggalah dewasa. Selain itu, ia juga dilaksanakan agar ikatan silaturahim dalam kalangan penduduk kampung sentiasa terjalin erat sekali gus mendidik mereka agar tidak mementingkan penggunaan media sosial ketika mengisi masa lapang dalam kehidupan sehari-hari.
