Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Permainan menipu – musuh baharu bandar Rio

    RIO DE JANEIRO, 30 OGOS – Bandar Rio sudah pun terkenal dengan rompakan jalanan, ahli politik yang korup, militia yang kejam dan pengedar dadah yang membawa senjata Kalashnikov dan kini mempunyai musuh awam terbaharu iaitu mesin claw yang dipenuhi mainan sumbat atau plushies.

    Rabu lalu, polis Rio mengeluarkan 16 waran geledah yang menyasarkan mesin yang menimbulkan keseronokan tetapi menipu pengguna yang percaya boleh mendapatkan mainan sumbat sebagai ujian kemahiran, menurut dakwaan polis. Malah, mesin berkenaan adalah seperti permainan memperjudikan nasib sama seperti mesin slot dan oleh itu menyalahi undang-undang, menurut pejabat akhbar mereka.

    Pegawai merampas mesin claw, komputer riba, tablet, telefon bimbit, senjata api dan juga patung-patung berbulu itu. Mereka juga menyiasat sama ada kumpulan jenayah terancang turut terlibat berikutan kewujudan sindiket mesin slot dan loteri popular yang dikenali sebagai Animal Game di seluruh bandar itu. Polis di negeri Santa Catarina selatan Brazil juga mengeluarkan tiga waran geledah tambahan sebagai sebahagian daripada operasi yang sama.

    Ia menandakan tindakan keras pihak polis yang kedua, selepas satu lagi pada bulan Mei lalu di mana pegawai telah menahan 80 mesin. Bukan sahaja mesin itu diisi dengan barang mewah palsu, tetapi pengaturcaraan dalam mesin membenarkan kemenangan hanya selepas beberapa percubaan, kata polis dalam kenyataan mereka.

    Pengaturcaraan itu tidak didedahkan kepada pengguna yang naif, termasuk kanak-kanak yang tertipu dengan mengeluarkan wang saku mereka terhadap usaha yang sia-sia. Mesin claw boleh didapati di pusat beli-belah Rio, stesen kereta api bawah tanah, pasar raya, arked dan kedai mainan.

    Antara peminatnya, Alessandra Libonatti, 41, yang telah bermain selama hampir tiga dekad. Dia masih ingat mesin claw yang menyebabkan kekecohan ketika pertama kali muncul di bandar; yang mana dia hanya lihat dalam filem. Hari ini dia cenderung bermain seminggu sekali, sama ada bersendirian atau di pusat membeli-belah dengan rakan-rakan yang berkongsi hobi ‘pelik’nya.

    Dia sukakan rusuhan adrenalin yang murah seperti itu dan dia sendiri mengakui bakatnya dengan kemahiran khas seperti meninjau landskap haiwan boneka kepada kedudukan claw yang tepat untuk meningkatkan peluang untuk berjaya.

    “Apabila saya terjumpa mesin claw, saya lihat sama ada terdapat mainan sumbat yang berbaloi untuk dimainkan,” katanya kepada AP. “Kerana ia tidak selalunya berbaloi; kadang-kadang ia jelas membazir.”

    Mesin claw mungkin menguji kemahiran dalam beberapa dekad yang lalu, tetapi kebanyakan mesin moden kini mempunyai pengaturcaraan terbina di dalamnya yang membolehkan keuntungan pengendali terlebih dahulu sebelum keuntungan pemain, kata Jeremy Hambly, peminat permainan tersebut dari Milwaukee.

    Saluran YouTube Hambli yang pernah dikongsi AP menunjukkan berapa banyak model yang berbeza berfungsi. Beliau berkata kebarangkalian menang harus disiarkan dengan jelas pada mesin untuk pengguna.

    Kebanyakan negeri Amerika Syarikat menganggap mesin claw adalah permainan bersandarkan peluang dan secara khusus mengecualikan mereka daripada perjudian, selagi mereka mematuhi peraturan tertentu untuk negeri tersebut. Menurut pegawai industri, adalah terbaik untuk arked memastikan pelanggan menang supaya mereka akan terus bermain.

    Tetapi di Rio, adalah amat sukar untuk pemain menang, kata Libonatti. “Sekarang, mesin claw adalah sia-sia. Alat cakarnya lebih lemah,” tulisnya dalam mesej teks kepada rakan-rakannya. Saluran media dalam talian tempatan, G1 menggelar fenomena itu sebagai ‘penipuan mesin claw dengan cakar yang lemah’.

    Pada bulan Mei lalu, hampir 13,000 mainan sumbat yang dirampas polis akan dimusnahkan tetapi diselamatkan dengan kebenaran hakim setelah dimohon penggubal undang-undang negeri. Sebaliknya, polis mendermakan mainan itu kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal dalam banjir besar di selatan Rio Grande do Sul, terutamanya kanak-kanak. Bagaimanapun, nasib mainan sumbat yang dirampas pada Rabu lalu masih belum jelas. – AP

    Sebuah mesin claw dalam kedai permainan di Rio de Janeiro pada 28 Ogos. – AP
    Sebuah mesin claw dalam stesen metro di Rio de Janeiro pada 28 Ogos. Polis membanteras mesin berkenaan yang didakwa menipu pemainnya. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda