Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Permainan ninja Sega, Shinobi akan dijadikan filem

    TOKYO, 9 OKT – Sega hari ini mengumumkan bahawa salah satu permainan paling popular mereka, Shinobi, akan dijadikan sebuah filem dalam projek bersama Universal Pictures, dengan harapan dapat meniru kejayaan Super Mario Bros.

    Pengeluar permainan video dari Jepun itu tidak memberikan tarikh sasaran untuk tayangan tetapi menyatakan bahawa mereka telah ‘memulakan pembangunan produksi filem’ bersama gergasi Hollywood itu.

    Shinobi pada asalnya dicipta untuk arked di Jepun pada tahun 1987 dan menampilkan watak ninja yang bertarung untuk menghentikan organisasi jenayah yang menculik ninja kanak-kanak.

    Ia adalah usaha terbaharu untuk mengambil kesempatan ke atas kepopularan adaptasi permainan video selepas The Super Mario Bros. Movie dijadikan filem dengan kutipan kedua tertinggi pada tahun 2023, selepas adaptasi Sega Sonic the Hedgehog pada tahun 2020.

    Bulan lalu, Electronic Arts mengesahkan bahawa filem yang banyak diperkatakan itu berdasarkan siri permainan simulasi kehidupan The Sims, akan dibangunkan oleh Amazon MGM Studios.

    “Shinobi adalah salah satu siri Sega yang paling popular di seluruh dunia, di samping Sonic the Hedgehog,” kata Sega hari ini.

    Filem tersebut akan diarahkan oleh Sam Hargrave, di mana filem arahannya yang pertama adalah filem Netflix pada tahun 2020, Extraction, yang dibintangi oleh Chris Hemsworth.

    Sega menyatakan bahawa mereka berharap filem Shinobi akan mencapai kejayaan besar dan menerima sambutan luar biasa seperti Super Mario Bros.

    Pada bulan Mac, Nintendo mengumumkan bahawa Super Mario Bros akan kembali ke layar perak pada tahun 2026.

    Nintendo juga sedang mengusahakan filem aksi langsung daripada francais yang amat berjaya, The Legend of Zelda, bersama Sony, pembuat konsol pesaing, PlayStation. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda