NITEROI, Brazil – Kanak-kanak lelaki dan perempuan kelihatan berlarian di padang bola sepak berdebu di favela Rio. Boleh dikatakan semua tempat di sana dipenuhi dengan kanak-kanak kecuali dengan satu perkara ini: mereka sedang mengejar bola berbentuk aneh.
Bola sepak adalah raja sukan di seluruh kawasan Pele, namun di Morro do Castro, sebuah kawasan favela berada di bukit-bukit Rio, pinggir bandar Niteroi, permainan ragbi dan bola ovalnya itu bermaharajalela. Pasti, itu bukan di Twickenham atau Eden Park. Kawasan padang di Morro do Castro tidak mempunyai kemudahan seperti yang terdapat di sekolah-sekolah di Australia, Britain atau mana-mana negara yang secara tradisionalnya memainkan sukan ini.
Pemain-pemain kelihatan memakai baju apa sahaja (tidak sedondon), dan ada juga hanya berkaki ayam. Tidak ada tiang ragbi, permukaan rumput yang tidak sekata dan apabila bola itu ditendang terlalu jauh, ia akan jatuh ke pembentung terbuka. Sekiranya pengedar dadah atau polis mula menembak di kawasan favela itu – suatu keadaan yang sangat merbahaya – kanak-kanak telah dilatih untuk melindungi diri mereka di bawah dinding konkrit dan juga tiang gol. Namun permainan ragbi ini sangat serius.
Dua belas pemain muda kelihatan berlari-lari di kawasan rumput tidak rata itu, memutarkan bola di tangan dengan sekilas pantas dan melakukan koordinasi yang baik. Dan apabila mereka melakukan persembahan ‘haka’, suatu tarian perang Maori yang sangat terkenal di New Zealand, kesungguhan mereka jelas terpancar, walaupun adanya sedikit samba.
Brazil, dengan populasi penduduk seramai 208 juta, hanya mempunyai kira-kira 16,000 pemain ragbi berdaftar, berbanding dengan berjuta-juta pemain bola sepak. Adakah ia baik untuk mengatakan bahawa kebanyakan anak remaja lelaki mungkin mengimpikan untuk bermain dalam baju pasukan kebangsaan berwarna kuning atau hanya meniru kekayaan Neymar. Tetapi impian Chagas?
“Untuk bermain di pasukan All Blacks,” katanya tanpa ragu-ragu.
Orang yang membawa permainan ragbi ke kawasan tropika, miskin dan kadang-kadang berbahaya ini adalah Robert Malengreau. Separuh-British, separuh-Brazil, Malengreau, 28, bermain di peringkat amatur tinggi di England, dan merupakan lulusan dari Universiti Oxford.
Dia sentiasa menyukai permainan ini, tetapi tragedi favela Brazil, yang sering dikawal oleh pengedar dadah dan dijauhi oleh seluruh masyarakat, membuatnya ingin mencuba sesuatu yang lebih bercita-cita tinggi daripada hanya sekadar latihan.
Empat tahun yang lalu, dia melancarkan sebuah NGO yang dipanggil UmRio, atau One Rio, dengan membawa idea untuk memperkenalkan sesuatu yang asing atau juga ragbi yang mana dapat menggegarkan suasana padang di sana. Ragbi, katanya, “adalah titik permulaan”.
Untuk menguji teorinya, Malengreau bekerjasama dengan sekolah di Morro do Castro, sebuah komuniti yang digambarkannya sebagai ‘terpinggir’ oleh kerajaan, dan mula mengajar sukan itu – dan cara baru kehidupan.
Pemain-pemain dari seluruh dunia, termasuk dari Universiti Oxford dan Cambridge, membantu dengan bimbingan ragbi sebenar. Tetapi yang paling penting, doktor gigi tempatan dan doktor klinik sukarela, meningkatkan penjagaan kesihatan masyarakat di sana – yang mempunyai sekitar 6,000 penduduk – dengan hanya mempunyai seorang doktor gigi tetap.
Kursus bahasa Inggeris dan bimbingan dari guru-guru Brazil dan luar negara bermakna pelajar-pelajar akan mendapat lebih ilmu dan teknik menangani masalah. Kunci simbolik utama adalah sokongan dari kelab-kelab ragbi Oxford dan Cambridge, yang telah mendermakan baju kemeja biru dan biru muda mereka itu. Ia mampu mendorong kanak-kanak di sana untuk bermain dan menggapai cita-cita mereka.
“Oxford dan Cambridge sendiri berkata ‘pintu sentiasa terbuka untuk anda,’ kata Malengreau.
Kira-kira 400 kanak-kanak telah mengambil bahagian setakat ini dan mesej itu telah diterima baik. Sebagai seorang budak lelaki dari favela, Franklin Cruz, berusia 14 tahun, telah berkembang menjadi orang lebih baik di mana orang ramai menyangkanya sebagai seorang pengedar dadah atau, paling baik, sebagai seorang pekerja pembinaan yang dibayar rendah. Pengembaraan ragbi ini katanya telah menguatkannya.
“Mengapa tidak menjadi arkitek atau seorang doktor atau peguam?” dia bertanya.
Malengreau mengatakan terdapat “sedikit kejutan” apabila dia mula-mula muncul di favela bersama dengan lima pemain Universiti Oxford yang begitu besar dan satu beg bola ragbi.
“Saya tidak pernah mendengar tentang permainan ragbi dalam hidup saya,” kata Chagas, mengingati bagaimana rakan-rakan bola sepaknya terkejut apabila diberitahu, “Tidak, anda tidak bermaksud untuk menendang!”
Pembelajaran mengenai lengkungan hanyalah satu permulaan. Ragbi adalah lebih daripada sebuah pasukan berbanding bola sepak, kurang terdedah kepada bintang individu itu, kata Malengreau. Tidak ada juga budaya bola sepak yang mana berteriak kepada pengadil.
Pada kejohanan ragbi ‘sentuhan’ baru-baru ini, kanak-kanak favela turun dengan membawa dua buah pasukan ke kawasan pantai kaya Niteroi untuk bermain di sekolah lain di atas pasir. Satu daripada pasukan Morro do Castro, memakai baju berjalur Universiti Cambridge, telah dimahkotakan sebagai juara, yang telah mendorong mereka untuk lebih berusaha gigih dan bersemangat. – AFP