Saturday, December 28, 2024
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Permainan ‘tirai besi’ satukan komuniti

    MEXICO CITY – Pada petang Ahad lalu di kejiranan Roma, Mexico City, Rosa Maria Espinosa menyertai hampir 80 lelaki di bawah pavilion taman untuk bermain poleana, satu permainan papan yang memerlukan ketangkasan minda.

    Permainan ini berasal dari penjara-penjara di bandar itu hampir satu abad lalu.

    Espinosa, sambil menghembuskan asap rokoknya dalam bentuk lingkaran, ketawa bersama para pemain lain. Hari ini, beliau satu-satunya wanita yang mengambil bahagian.

    Walaupun asal-usul permainan itu masih membawa stigma, poleana kini mendapat perhatian kerana daya tarikannya yang mampu menarik orang daripada pelbagai latar belakang.

    “Ia sangat mendebarkan,” kata Espinosa. “Tetapi kadang-kadang dadu tidak memihak kepada kita.”

    BERMAIN UNTUK KEBEBASAN

    Poleana dimainkan di atas kotak kayu berbentuk segi empat sama dengan bahagian tengah yang tenggelam untuk melempar dadu. Permainan ini melibatkan empat pemain, masing-masing dengan empat buah bidak.

    Dana Lopez menghasilkan token kayu untuk poleana, permainan papan yang dicipta di penjara, di bengkelnya di Mexico State, Mexico. – AP
    Jonathan Rulleri, memegang papan poleana, permainan yang diciptanya di penjara. – AP
    Dana Lopez (kanan), melukis papan untuk poleana. – AP
    Dari kiri, Salvador Espinosa, Rosa Espinosa, Diego Castillo, Erik Cisneros dan Ulises Tiscareno semasa bermain poleana. – AP

    Pemain berlumba untuk menggerakkan bidak mereka dari posisi permulaan, mengelilingi papan dan keluar melalui sudut yang ditetapkan. Pergerakan ini memerlukan kombinasi dadu tertentu dan pengiraan strategi, sambil menyekat kemaraan lawan.

    Papan permainan itu melambangkan kekangan dalam penjara, dan matlamatnya adalah untuk keluar sebelum pemain lain, satu simbolik kebebasan walaupun hanya secara metafora.

    “Dulu orang berkata, mereka tahu bermain permainan ini sebab pernah masuk penjara,” kata Rosa María Espinosa, seorang pemain berusia 62 tahun. “Syukur, saya tak pernah ke sana, tetapi saya suka bermain.”

    Kejohanan pada petang Ahad itu menandakan kali pertama Espinosa bertanding melawan pemain di luar kalangan saudara-mara atau rakan yang biasa bermain bersamanya pada Selasa dan Ahad di kompleks apartmennya.

    Alejandro Olmos, seorang ahli arkeologi dan antropologi yang pakar dalam permainan Mesoamerika di Sekolah Antropologi dan Sejarah Nasional, telah mengkaji dan bermain poleana selama bertahun-tahun.

    Menurut Olmos, asal-usul permainan itu boleh dikesan daripada permainan India yang dikenali sebagai chaupar (atau pachisi), dengan bukti arkeologi yang bertarikh seawal 600 Masihi.

    Selepas penjajahan British, permainan ini tersebar ke pelbagai negara Barat dengan nama berbeza seperti Ludo, Aggravation, dan Parcheesi.

    Di Amerika Syarikat, pembuat permainan Parker Brothers memasarkan permainan serupa berdasarkan novel 1913 oleh Eleanor H Porter, Pollyanna.

    Sekitar tahun 1940, permainan ini sampai ke penjara-penjara di Mexico City, dengan Lecumberri, penjara yang reka bentuknya menyerupai geometri papan poleana kemungkinan menjadi tempat kelahiran permainan berkenaan.

    Di sini, permainan itu diberi nama poleana dan peraturan baharu diperkenalkan.

    “Semua budaya mempunyai proses yang dipanggil penerimaan dan transformasi,” jelas Olmos. Di Mexico, “permainan ini mencerminkan kekerasan kehidupan penjara: kesilapan tidak dimaafkan.”

    Enam tahun lalu, Jonathan Rulleri memulakan perniagaan keluarga untuk mempromosikan poleana, dengan matlamat menyatukan individu dari pelbagai latar belakang.

    Cabaran awal adalah menetapkan peraturan yang seragam untuk permainan ini, yang berkembang “dari bawah, dari penjara ke jalanan, dan dari jalanan ke kejiranan,” kata Rulleri, 37 tahun, yang mempelajari permainan ini semasa dipenjarakan di Negeri Mexico, luar ibu kota.

    Selepas dibebaskan, Rulleri berdepan kesukaran mencari pekerjaan, satu cabaran biasa bagi mereka yang pernah dipenjarakan.

    Beliau kemudian memulakan perniagaan penghantaran taco bersama isterinya, tetapi usaha itu gagal.

    Dalam keadaan terdesak, beliau menerima komisen untuk menghasilkan papan poleana untuk seorang kenalan. Tempahan lain menyusul dan Rulleri mula mempromosikan hasil karyanya dalam media sosial.

    “Kami tinggalkan idea taco dan mula membuat poleana,” katanya.

    Perniagaan Poleana Cana’da Frogs, yang diasaskan oleh Jonathan Rulleri, mengambil namanya daripada istilah slanga penjara dan pergerakan melompat kepingan permainan di papan.

    Sejak dilancarkan, perniagaan tersebut telah menganjurkan 55 kejohanan poleana di ruang awam, menekankan suasana mesra keluarga dan dengan tegas mengecualikan amalan pertaruhan, yang lazim di acara poleana lain.

    “Kami mahu menghilangkan stigma permainan ini, bahawa ia adalah permainan untuk banduan atau orang malas,” kata Rulleri.

    Pada tahun 1980an, permainan ini mula tersebar ke luar penjara dan mendapat tempat di banyak kawasan kejiranan sukar di Mexico City.

    Tepito, pusat perdagangan jalanan dan tinju di ibu negara, merupakan salah satu kawasan di mana poleana sentiasa dimainkan.

    Di gelanggang bola tangan, lelaki dari pelbagai usia bermain bola dengan dinding, manakala di tepi gelanggang, yang lain bermain poleana hingga lewat malam. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda