Wednesday, February 12, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Permainan tradisional jangan dilupakan

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar oleh Salawati Haji Yahya

    Negara Brunei Darussalam merupakan sebuah negara yang kaya dengan adat resam dan cara hidup dengan variasi kebudayaan.

    Salah satu cabang daripada variasi kebudayaan tersebut ialah permainan tradisi yang telah kita warisi dari satu generasi hingga ke generasi yang ada hari ini.

    Namun hakikatnya, zaman silih berganti dengan arus kemodenan dan kecanggihan yang sentiasa mengelilingi kehidupan kita, kebanyakan daripada permainan tradisi ini sudah tidak dipratikkan lagi sama ada dalam kalangan kanak-kanak mahupun dewasa.

    Hanya beberapa jenis permainan tradisi sahaja yang diketahui atau masih dimainkan seperti permainan congkak, pasang, kikik, dan gasing.

    Lebih-lebih lagi dengan terciptanya pelbagai peralatan dan aplikasi hiburan yang lebih moden, seperti telefon pintar dan komputer sehingga menyebabkan permainan tradisional ini jarang atau sukar mendapat tempat di hati generasi masa kini untuk memilikinya atau memainkannya.

    Salok-Salokan diperbuat daripada rotan lembut yang mudah dilentur dan dibengkokkan lalu diikat menggunakan seutas tali daripada sejenis akar atau kulit kayu.
    Kerita Rajung, sejenis model kereta yang diperbuat daripada papan.
    Kasut Terompak iaitu permainan yang diperbuat daripada tempurung kelapa yang diletakkan di bawah kaki pemain seperti memakai selipar.
    Permainan buah lapas-lapas merupakan permainan memindahkan buah yang tergantung dari satu titik A ke titik B tanpa membuka ikatan tali tersebut.

    Oleh itu, penulis ingin membawa pembaca untuk menerokai beberapa jenis koleksi permainan tradisional masyarakat Brunei kita yang pastinya tidak ramai yang mengetahui atau kurang mengetahuinya mahupun ada juga sesetengah yang tidak peka akan kewujudannya selama ini lebih-lebih generasi pada masa kini.

    Salok-Salokan

    Salah satu permainan tradisi di negara kita yang mungkin tidak ramai mengenalinya mahupun memainkannya pada masa ini ialah Salok-Salokan. Ia diperbuat daripada rotan lembut yang dilenturkan dan dibengkokkan. Rotan itu kemudian dibentuk dan diikat menggunakan seutas tali daripada sejenis akar atau kulit kayu.

    Permainan itu mempunyai banyak tahap daripada yang senang hingga kepada yang sukar tertakluk dari bentuk rekaan pembuatnya.

    Menyentuh mengenai kaedah permainan adalah dengan melepaskan seutas tali yang sudah tersimpul keluar dari rangkanya tanpa membuka ikatan simpulan tersebut.

    Kaedah yang lain pula adalah dengan memasukkan kembali tali tersebut ke dalam rangka Salok-Salokan.

    Kerita Rajung

    Selain itu, Kerita Rajung merupakan salah satu permainan tradisi masyarakat Brunei yang mana ia sejenis model kereta yang diperbuat daripada papan dan lazimnya dimainkan oleh golongan remaja lelaki sahaja.

    Permainan ini dimainkan dengan cara menggelongsor dari atas bukit yang curam dan dalam jangka masa yang cepat.

    Permainan ini dicipta setelah wujudnya pemakaian kereta dalam kalangan masyarakat dahulu.

    Kasut Terompak

    Dikenali dengan nama permainan Kasut Terompak, ia menggunakan alatan yang diperbuat daripada tempurung kelapa yang ditebuk lubang pada bahagian tengahnya untuk mengikat tali.

    Tempurung kelapa tersebut akan diletakkan di bawah kaki pemain seperti memakai selipar, dan pemain akan memegang dan menarik tali tempurung yang diletakkan dicelah jari kaki semasa melangkah.

    Permainan ini boleh dimainkan secara perseorangan dan juga sebagai perlumbaan di mana pemain yang sampai ke garisan penamat lebih awal adalah dikira sebagai pemenang.

    Buah Lapas-Lapas

    Permainan Buah Lapas-Lapas diperbuat daripada kayu yang dibentuk dan mempunyai ukiran yang beraneka jenis tertakluk kepada kemahiran seorang tukang kayu itu.

    Pada badan permainan itu terdapat tiga buah lubang khas yang dibuat iaitu satu di kanan, satu di kiri dan satu lagi di tengah-tengah.

    Seutas tali diperlukan untuk diikatkan pada lubang kanan yang menempatkan beberapa biji buah hutan yang digantung bersama tali berkenaan serta disimpulkan pada lubang tengah, kemudian tali berakhir diikatkan semula pada lubang kirinya.

    Adapun objektif permainan adalah untuk memindahkan buah yang tergantung dari titik A ke titik B tanpa membuka ikatan tali tersebut.

    Jangan biarkan ia hilang

    Dalam pada itu, permainan tradisi itu juga mampu menimbulkan rasa kebersamaan kepada pemainnya iaitu lazimnya ketika melakukan permainan secara berkumpulan yang mana ia memerlukan kerjasama yang padu dalam berpasukan untuk meraih kemenangan.

    Mungkin tanpa kita sedari bahawa permainan tradisi sudah tidak menjadi amalan yang kekal dalam kalangan generasi muda kini bahkan mereka lebih memilih permainan moden yang berteknologi tinggi.

    Dengan kata lain, seolah-olah permainan tradisi semakin lama semakin pupus dan tenggelam oleh teknologi baharu dan pengaruh luar sehingga generasi penerus bangsa tidak tahu atau kurang mengetahui akan permainan tradisi yang pernah diamalkan atau dimainkan oleh nenek moyang mereka sendiri.

    Dalam hal ini, semuanya berbalik kepada diri kita sendiri, selaku masyarakat Brunei meliputi tujuh puak jati Melayu, sama ada ingin melihat budaya permainan tradisi kita hilang begitu sahaja atau mempertahankan kewujudannya.

    Oleh itu, bersama-samalah kita memartabatkan budaya bangsa Melayu seperti mempraktikkan permainan tradisi ini agar ia tetap bertapak dan kekal selamanya, ‘Takkan Melayu Hilang di Dunia’ dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat walaupun gelombang arus kemodenan terus melanda kehidupan ini dari waktu ke waktu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda