Oleh Lyna Mohamad
Gambar oleh Bahyiah Bakir dan Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan rombongan, hari ini, telah berkenan berangkat ke Ibu Pejabat Pertubuhan Perkumpulan Wanita (WI) Negara Brunei Darussalam di Bukit Bendera, Tutong.
Berangkat mengiringi Baginda Raja Permaisuri Agong ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.
Keberangkatan Baginda Raja Permaisuri Agong dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Pemangku Presiden WI Brunei, Hajah Shamsiah binti Abdul Latif.
Sejurus keberangkatan, Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan bergambar ramai bersama ahli-ahli WI sebelum dijunjung menyaksikan demonstrasi memasak dua makanan tradisi Brunei iaitu penyaram dan kelupis di mana Baginda berkenan mencuba membuat makanan tradisi berkenaan.
Baginda kemudian berkenan menyaksikan pameran produk-produk tenunan plastik yang dihasilkan oleh ahli-ahli WI sebelum menandatangani lembaran kenangan sempena kunjungan Baginda, yang mana merupakan kunjungan kali keempat setakat ini.
Hajah Shamsiah dalam sembah alu-aluannya antara lain menekankan bahawa kunjungan Baginda Raja Permaisuri Agong berkenaan merupakan satu inspirasi dan motivasi bagi ahli-ahli WI Brunei untuk menggandakan usaha dan tenaga kerja mereka dalam memfokuskan terutamanya ke atas pembangunan wanita, kanak-kanak, keluarga dan masyarakat bukan sahaja di Brunei Darussalam malah antarabangsa pada amnya.
Penglibatan Baginda dalam kerja amal telah menjadi contoh dan sumber inspirasi kepada ahli-ahli WI untuk terus menyumbang dan memberikan bantuan terutamanya kepada mereka yang memerlukan.
Baginda Raja Permaisuri Agong, yang merupakan Pengerusi WI Pahang, juga telah berkenan memotong kek ulang tahun Baginda dan menanam pokok durian di perkarangan ibu pejabat berkenaan serta menyaksikan pokok mangga yang ditanam semasa keberangkatan Baginda pada 2013.


