Friday, May 9, 2025
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Permasalahan ibadah haji, umrah: Hukum bayar fidyah atau dam bagi pihak orang lain

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Ketika menunaikan ibadah haji atau umrah, para jemaah terikat dengan tuntutan-tuntutan tertentu sepanjang menunaikan kedua ibadah tersebut.

    Apabila tuntutan-tuntutan itu tidak dipatuhi, contohnya seseorang melakukan perkara-perkara yang dilarang ketika berihram seperti memotong kuku, memotong rambut, memakai wewangian dan memakai penutup kepala (bagi lelaki), ataupun dia meninggalkan wajib-wajib haji seperti niat ihram di miqat, melontar jamrah, bermalam di Muzdalifah, bermalam di Mina pada hari-hari Tasyriq dan meninggalkan tawaf Wada‘, maka fidyah atau dam tertentu akan dikenakan sebagai denda atau tebusan bagi kesalahan-kesalahan tersebut.

    Fidyah atau dam bukanlah alternatif atau jalan yang mengharuskan seseorang untuk melanggar tuntutan-tuntutan yang telah ditetapkan syara‘. Oleh kerana itu, walaupun fidyah atau dam itu berfungsi sebagai denda atau tebusan terhadap kesalahan yang dilakukan, ia tidak boleh sekali-kali dijadikan helah atau alasan untuk meninggalkan tuntutan-tuntutan dalam ibadah haji mahupun umrah secara sengaja.

    Bahkan adalah wajib bagi orang yang menunaikan haji atau umrah itu menjaga segala tuntutan ketika mengerjakan kedua ibadah tersebut dan haram dia melanggarnya. Sesiapa yang melanggarnya akan menanggung dosa serta diwajibkan ke atasnya membayar fidyah atau dam sebagaimana yang ditentukan.

    Maksudnya di sini, dia tetap berdosa kerana perbuatannya melanggar tuntutan-tuntutan tersebut walaupun dia sudah membayar fidyah atau dam. Di samping itu, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, orang-orang yang tidak menjaga tuntutan-tuntutan tersebut, selain daripada mendapat dosa serta dikenakan fidyah atau dam, dikhuatiri ibadah hajinya menjadi tidak mabrur.

    Gambar Canva

    Selain dikenakan fidyah atau dam tertentu kerana melanggar tuntutan-tuntutan ibadah haji atau umrah sepertimana contoh di atas, dam juga dikenakan ke atas orang yang mengerjakan haji Tamattu‘ dan haji Qiran.

    Salah satu dalil bagi ketetapan ini ialah firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    Maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan umrah sampai waktu mengerjakan haji maka diwajibkan ke atasnya dam yang mudah didapati.

    Tetapi sesiapa yang tidak dapat (mengadakan dam itu) maka hendaklah dia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali ke tempat masing-masing, semuanya itu sepuluh hari cukup sempurna. (Surah al-Baqarah: 196)

    Ayat di atas ini, walaupun secara khusus hanya menyebut kewajipan membayar dam bagi mereka yang mengerjakan haji Tamattu‘, akan tetapi menurut ulama, ia juga sekaligus menjadi dalil diwajibkan dam bagi mereka yang mengerjakan haji Qiran.

    Ini kerana pekerjaan haji Qiran lebih sedikit dan lebih ringan berbanding pekerjaan haji Tamattu‘. Maka atas dasar ini, haji Qiran lebih utama untuk dikenakan dam.

    Bagi mereka yang memiliki kesenangan dan mempunyai harta lebih, mungkin ada terlintas atau terniat dalam hati mereka untuk mengeluarkan fidyah atau dam untuk orang lain bagi meringankan bebanan orang yang menanggung fidyah atau dam itu di samping mengharapkan ganjaran pahala daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Apa yang menjadi persoalan di sini ialah adakah sah sekiranya seseorang membayar atau mengeluarkan fidyah atau dam bagi pihak orang lain? Adakah apa-apa perbezaan hukum sekiranya orang yang hendak dibayarkan fidyah atau dam untuknya itu masih lagi hidup ataupun sudah mati? Adakah beza sekiranya ia dilakukan dengan izin atau tanpa izin tuannya?

    Menurut ulama mazhab asy-Syafi‘i, fidyah atau dam tidak boleh dikeluarkan untuk orang lain tanpa izinnya kerana fidyah atau dam itu adalah sejenis ibadah. Ini kerana hukum asal bagi perkara-perkara ibadah, seperti fidyah, zakat, udhiyyah (ibadah korban), aqiqah dan sebagainya, tidak boleh dikerjakan untuk orang lain tanpa izinnya.

    Mengenai perkara mengerjakan ibadah untuk orang lain ini, asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullah dalam al-Iqna‘ menjelaskan tentang permasalahan mengerjakan udhiyyah untuk orang lain tanpa meminta izin terlebih dahulu daripada tuannya. Beliau berkata yang ertinya:

    Dan tidak harus seseorang mengerjakan udhiyyah bagi pihak orang lain tanpa izinnya walaupun untuk orang yang sudah mati sepertimana juga halnya dalam seluruh perkara ibadah melainkan jika dia diberikan keizinan (untuk mengerjakannya bagi pihak orang lain) sepertimana dalam permasalahan zakat.

    Adapun hukum mengerjakan udhiyyah bagi orang yang sudah mati pula, sekiranya ia dilakukan atas wasiatnya, maka yang demikian itu adalah sah dan memadai. Perkara ini ada disebut dalam kitab-kitab ulama asy-Syafi‘i antaranya Mughni al-Muhtaj, Asna al-Mathalib dan Busyra al-Karim.

    Hukum permasalahan ini boleh diqiyaskan kepada fidyah atau dam kerana ia juga dalam kategori perkara-perkara ibadah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda